Sunday, November 30, 2008
Adakah saya perlu sentiasa di Imadudeen ini …
Saya pernah jelaskan dalam tulisan saya Mengapa imadudeen.blogspot.com ? bahawa saya tidak mungkin menjadi blogger tegar yang istiqomah pada blog ini.
Saya bukanlah orang yang akan memulakan catatan blog dengan kata-kata “sudah lama saya tidak menulis”, “sudah lama blog ini sepi”, “maaf sekian lama saya tidak mampu mengupdate blog ini” … sepertima ramai blogger, kerana ini bukanlah hajat saya dalam berblog.
Saya, tidak berhajat yang blog ini akan selalu menghasilkan tulisan-tulisan baru, namun “rasa” yang saya inginkan sampaikan, cuba saya sulami dengan pemikiran dan panduan yang ‘dalam dan berkesan’ berbekal sekelumit ilmu dan pengalaman yang saya dapati dalam perjalanan pendek sebieliLlah ini. Menulis itu mudah, tapi tulisan yang memberi makna itu amat sukar sekali dan saya hanya punya hajat ‘untuk memberi makna itu’ walau belum tentu berhasil.
Apatah lagi, saya bukan teknologis sesawang. Jelasnya, saya punya kedangkalan dalam ilmu berblog, yang sehingga kini tidak tahu dan tidak mahu mengoperasi apa-apa, atau mana-mana face book, friendster atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Saya juga belum mampu meyakinkan, apatah lagi mencuri masa-masa adik-adik saya yang mungkin lebih faqih dalam ilmu sesawang ini untuk membantu membangun blog ini, sekalipun untuk kelihatan lebih ceria dan berkesan. Cukuplah blog ini dalam merakam catatan rasa saya.
Pilihan teman-teman, saudara-sudari jika berkenan untuk mengikuti catatan rasa ini adalah dengan mendaftar diri sebagai pemerhati blog ini. Klik pemerhati. Saya mengharap ini tidak menjadi sesuatu yang membebankan kerana saya secara peribadi ingin dan mengharap rasa dan pandangan saya ini dapat dikongsi sebagai satu dakwah saya dan mahar saya ketika bertemu al Khalik nanti.
“Tulisan abang sebelum-sebelum nie pun wajar abang kompilasi …” … tambah adikku lagi. Ooh sudah-sudah, ini saja yang saya mampu buat sementara ini. Hatta, kualiti penulisan yang tidak bertambah baik dan masa yang bertambah kurang, lebih merumit keadaan. Penulisan lalu adalah hanya catatan lepas dengan ilmu yang lebih sedikit dari sekelumit yang saya punya kini. Mungkin, bila kelapangan itu muncul, ia tidak mustahil, tapi bukan sekarang.
Saya mengetahui, ziarah dan minum petang saya bersama teman dan adik-adik, apatah lagi guru-guru saya adalah terbatas. Pesanan ringkas @ sms, juga punya limitisi kata yang mungkin menyebabkan saya tidak mampu berlaku adil pada maksud yang ingin saya sampaikan. Walau begitu, hati bergelojak ini tetap mahu supaya saya dapat mampu terus berkongsi dengan saudara, sahabat, adik dan guru-guru saya tentang rasa, makna dan pengalaman yang saya lalui. Andai ada teman-teman yang mungkin harus disampaikan keujudan bicara rasa imadudeen ini maka sampai-sampaikanlah salam ini pada mereka.
Hajatnya moga sedikit kebaikkan darinya, mampu dijadi bekal ketika saya lepas landas dari dunia sementarai ini.
Hanya Allah Maha Mengetahui
Al faqir, al haqir illahLlah
Abu Imad
Saturday, November 22, 2008
Menjala ikan terakhir I...
Begitulah krisis yang
Pastinya saya bukan seorang Nelayan, saya dan teman-teman cuma hadir untuk membantu sebagai menyelesaikan amanah.
Setelah lebih 4 bulan menunggu, kami dikurniakan satu pertemuan singkat bersama Tok Pa. Usai Tok Pa mendengar penerangan 15 minit, dia membuka lagi ruang untuk sahabat-sahabat saya yang lain untuk bersuara. Sesungguhnya, seorang pemimpin yang bernama Menteri itu, “pada ketika itu” telah melakukan keadilan kepada para nelayan. AlhamduliLlah, hampir semua sahabat-sahabat dari Jaringan Nelayan ini tidak berdolak-dalik untuk menyuarakan segala derita yang melanda mereka dan keluarga besar nelayan kecil pinggir pantai. Pertemuan lebih satu jam itu membuah satu kemajuan yang baik.
Benarlah apabila Surah Al Rum 41 berbicara –
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.
Hebatnya Allah; dia membicarakan kerosakan ekologi ini bukan hanya pada daratan namun secara adil dan berimbang memberi pengetahuan pada manusia bahawa kerosakan yang sama sedang berlaku di lautan.
Ramai dikalangan masyarakat awam hingga kepada sebahagian besar ekologis sebenarnya tidak tahu atau tidak endah bahawa ekosistem lautan (marin) kita juga sedang berada dalam krisis besar.
Dan krisis alam sekitar sepertimana dalam surah di atas akan memberi implikasi kepada manusia itu sendiri. … “supaya Allah merasakan kembali akibat kepada perbuatan mereka”… kata Tuhan.
SunatuLlah yang menjalankan keadilan keatas semua makluknya, disukai mereka atau tidak.
Sepertimananya benar juga kata
“Every action, there is a negative or positive reaction” …
… atau sepertimananya berlaku dalam teori keujaan ion …
“setiap ion yang teruja dari kesemulajadian dan kestabilannya, akan melepaskan tenaga untuk kembali kepada kestabilannya ….”
Keadilan Sunatullah. Begitulah yang terjadi …
Bilamana ekologi marin diperkosa secara rakus, melampaui had yang sepatutnya, seerti melangar keadilan alam dalam memberi hasilnya, maka kesannya… ekosistem marin itu akan makin punah seraya membawa bersama pelbagai kemusnahan dan penderitaan kepada manusia dan hidupan lain bersama-samanya.
“Dulu zaman atuk, siakap nie 50sen aja…”
Harga tinggi tidak langsung memberi maksud bahawa taraf atau kualiti hidup kita lebih tinggi. Jangan perasan. Ia membawa maksud bahawa kita terpaksa membeli harga khazanah (disebut kapitalis sebagai sumber) alam dengan lebih mahal – kerana realtinya khazanah alam ini makin terhakis.
Para Nelayan kecil menjadi mangsa apabila khazanah yang semakin berkurang, kehendak yang semakin banyak, kudrat yang semakin berkurang … lalu menjadilah sebahagian mereka mangsa keadaan.
Ketika itu kita baru sedar, alam dan kita itu tidak terpisahkan, hatta Hutan Bakau yang payau dan masam itu menjadi erti yang besar buat sang nelayan. Tanpa bakau, tiadalah lautan – tanpa lautan, tiadalah nelayan …
Tuesday, November 18, 2008
Serambi yang kosong …
17 November 2008
...sedikit sedih melihat rumah kecil itu masih kekal sepertinya. “Rumah siap, pahat berbunyi…” kata orang melayu. Namun kali ini, bukan masalahnya untuk pahat itu berbunyi, namun sedihnya apabila pahat itu berhenti berbunyi buat beberapa ketika sebelum kembali berpahat … RAUDHAH masih belum siap, fizikal pembangunannya belum selesai. Nak di marah banyak-banyak, si tukang tu pun sahabatku, yang tidak kurang juga pengorbanan dakwahnya. Kalaulah ada yang dapat membuat susulan dan memantau kerja-kerja ini, mungkin lebih cepat fizikal RAUDHAH ini diselesaikan…
Saya cukup percaya kita memerlukan pekerja sepenuh masa dalam dakwah. Tujuan pekerja dakwah sepenuh masa ini bukannya untuk menyampaikan kebenaran, kerana menyampaikan kebenaran tidak memerlukan bayaran/gaji dan adalah tanggungjawab setiap mukmin, namun pekerja dakwah sepenuh masa ini adalah menguruskan gerakan. Keperluan dakwah yang cukup pelbagai, mengkehendaki ada yang mampu memberi fokus dan menguruskan kerja dakwah secara berkesan secara sepenuh masa …
Sayangnya harga untuk memiliki pekerja dakwah sepenuh masa ini adalah cukup mahal. Tidak bukan maksud saya pada gajinya … namun harga untuk memahami keperluan untuk berdakwah sepenuh masa. “Dakwah sebagai satu kerjaya … gila !” Kata sebahagian orang.
Harganya … adalah untuk memahamkan sang ibu dan ayah yang lebih dua dekad menyuap makan ke mulut kita – bahawa anak soleh itu bukan pada kerjaya “yang bernama” dan cek gaji berangka empat dan
Tak adik ku sang cahaya fitrah … jangan tersilap dengan getus hati abang ini. Tulisan ini bukan untuk kamu. Kamu sudah melalui satu ujian, kamu sudah mencuba mengatasinya … kamu menang dalam usaha, mungkin tidak berapa berjaya dalam hasilnya…
Saya membicara ini, untuk mereka-meraka yang seterusnya akan mengisi serambi-serambi dakwah kami … samada untuk seketika atau untuk hidup dan mati bersamanya…
Serambi yang kosong, memudikkan pahat yang terus bertalu di RAUDHAH, terus bertalu entah bila mahu siapnya… Mudahkanlah urusan kami ya Allah …
Tuesday, November 11, 2008
... perjalanan yang panjang ...
jam mendetik 2.30 pagi dan hanya ketika ini, setelah usai segala kerja, mampu saya membuka blog imadudeen ini. Tertawa kecil saya ... "mungkin ini satu lagi cubaan berblog yang akan gagal".
Tujuan Blog Imadudeen
Saya berhasrat untuk berkongsi dengan jumlah manusia yang lebih luas di luar sana tentang perjalanan hidup dakwah. Tentang maknanya, tentang keindahannya (walau indah itu tidak sepertinya cantik dan manis), tentang cabarannya, dan tentang matlamatnya.
Bukan ini satu biografi, memoir atau hikayat tentang keperwiraaan sang hulubalang atau kepimpanan @ kedaulatan seorang sultan namun sebuah perjalanan hidup seorang manusia biasa dalam mencari jalan kepada redha Tuhannya.
Saya tidak berhasrat untuk berkongsi tentang diri saya atau siapa saya, namun "intipati pengalaman", perjuangan yang kadangkala datang dan berlalu terlalu pantas namun punya ibrah (pengajaran) yang cukup besar. Manusia tidak akan dapat menghayati kepuasaan kehidupan jika dia tidak mampu memahami "makna" atau "mengambil pelajaran" ke atas setiap detik yang dilaluinya.
mengambil Ibrah dari kehidupan
Manusia gagal untuk membangun kehidupan yang lebih sejahtera dalam masyarakat dan suatu bangsa gagal membangun suatu tamadun kerana kita gagal mengambil ibrah (makna dan pengajaran) dari sejarah yang mereka telah lalui.
Kenapa Melayu gagal maju kehadapan kecuali cemerlang dalam statistik dadah, sumbang mahram dan yang sewaktu dengannya adalah kerana mereka gagal mengambil pelajaran dari kegagalan dan kelemahan mereka.
Kenapa saya cukup marah dengan "Demonstrasi Melayu terpinggir" yang didalangani parti yang kononnya menggelari diri Nasionalis Melayu ketika mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertukar tangan kepada pembangkang (PR). Adakah kerana saya menyokong PR / DAP maka itu saya marah ? jawapannya tidak ... kerana saya berada bersama sejarah - bersama masyarakat untuk melihat dan merasai bagaimana orang Tanjung Tokong terus dibelenggu kepayahan, hak mereka di ambil dan mereka di tikam dari belakang oleh bangsa sendiri. Bagaimana saya melihat orang rumah pantai Jelutong dikeluarkan dari kampung-kampung meraka atas nama pembangunan yang tidak "membangunkan" mereka. Bagaimana saya melihat air mata mereka mengalir ...
Mereka yang berdemonstrasi pada hari tu melaungkan "Melayu Terpinggir" dan marah pada kerajaan negeri yang mahu menilai kembali "Keistimewaan Melayu" dalam DEB. Mereka itu tidak berada bersama derita rakyat tanjung tokong dan jelutong dan sekian banyak penderitaan umat di Pulau Pinang yang tidak mampu dirakamkan. Jika mereka bersama dengan derita rakyat maka sepanjang 50 tahun mereka memerintah sebagai kerajaan negeri, mengapa mereka tidak mampu untuk mengangkat derita umat - mengeluarkan "melayu dari keterpinggiran" ... mereka hanya bercakap tentang melayu ketika di Perlantikan Mesyuarat Cawangan dan Bahagian serta dalam seminari dan bengkel di dewan berhawa dingin.
... bukan hajat saya lagi untuk mengupas nasib Melayu @ Muslim @ rakyat P.Pinang (yang sebenar), saya akan usahakan pada kesempatan yang akan datang, huraian di atas hanyalah sebagai penjelasan kenapa memahami ibrah dalam kehidupan adalah penting dalam kehidupan bermasyarakat mahupun individu.
Bilamana kita mampu melakukan penilaian yang jujur (muhasabah) pada diri kita tentang kehidupan, mengambil pelajaran (ibrah), maka hanya dengan itu kita mampu melakukan pembaikan (islah) dalam diri dan masyarakat kita. Melakukan "Islah diri" itu lebih penting kerana dengan itu kita sekaligus melakukan Islah kepada satu juzuk penting dalam kehidupan masyarakat -- maka apabila setiap diri dalam masyarakat mahu mengadakan muhasabah, mengambil ibrah dan melakukan Islah maka tentunya masyarakat itu seluruhnya akan merasai sejahtera (Islam)
Catatan Rasa ?
Kenapa rasa ? kerana secara jujurnya saya mengerti saya tidak boleh bermimpi untuk melakukan percubaan terlalu ilmiah atau akademis untuk menyampaikan maksud saya dalam blog ini. Saya sememangnya menggilai budaya ilmu dan dalam dunia kerja terlibat langsung dalam dunia penyelidikan dan mengetahui kepentingan "maklumat @ data yang sahih dan sumber rujukan yang benar".
Kesempatan masa telah terlalu membataskan saya hinggakan banyak artikel mahupun pelaporan bersifat ilmiah untuk kerja saya sekalipun, tidak mampu saya langsaikan ... the back log in my work as an activist and duat are tremendous - solely of two reasons; i'm yet to master my time the fullest and we have so so so much of work and so little in the number of duat dan activist ... Saya merasakan diri masih gagal menggunakan masa saya sepenuhnya dan efektif untuk aktivisma dan dakwah, walau bagaimana pun isteri saya berbeza pandangan, menyatakan kadangkala saya lebih tidak efektif menunaikan hak wajib pada anak dan isteri berkenaan masa.
hmmm ... harga sebuah mimpi perjuangan mungkin.
Maka sewajarnya, saya hanya mampu mengimpikan bahawa blog ini tidak lebih dari satu catatan rasa untuk mengambil ibrah pada satu perjalanan dakwah. Rasa dalam makna memperjelaskan konsepsi, pengamatan, tasawur dan metafizika tanpa mampu memperinci dan mendedahkan bukti yang dalam dan tuntas buat argumentasi / penghujahan. Saya mendoakan ada kebaikkan dan keberkatan dalam perkongsian ini.
Satu perjalanan yang pendek dan bermakna ...
... terlalu banyak yang ingin dikongsi kerana dalam waktu yang singkat berlalu, saya telah belajar terlalu banyak ... banyak tajuk-tajuk yang telah saya catatkan pada nota peribadi yang saya masih gagal untuk perpanjangkan menjadi satu catatan yang sesuai untuk dibaca.
saya telah belajar dalam seminggu lalu bagaimana "kuasa mampu membutai mata dan nilai manusia". itulah tempelak politik demokrasi atau siyasah dakwah demokarasi. Paling menyedihkan apabila yang buta itu juga adalah duat yang memegang panji-panji Islam.
saya telah belajar dalam seminggu lalu apabila berkongsi rasa dengan seorang saudara duat, seorang penulis prolifik indonesia dan editor majalah terlaris di Indonesia, ketikamana dia baru pulang melawat sebuah negara Islam dan saya, bilamana pulang dari Korea, tentang bagaimana nasibnya umat dalam Islam dalam dunia ini. Kami berkongsi pandangan tentang satu keutamaan yang belum dapat kita langsaikan oleh kita sebagai katalis perubahan. Ini bagi kami mungkinmenjadi penyebab kenapa negara umat Islam tidak mampu bangun keluar dari kemunduran (spiritual, intelektual, ekonomi dan sebagai) nya ...
tidak kurang perkongsian rasa yang bermakna dengan saudara duat tentang dakwah di Malaysia - kekangan intelektualisma dan aktivisma - bagaimana kita berjuang dalam serba kekurangan. terima kasih akhi saifulislam.com. Moga kita akan terus bertemu, berkongsi rasa dan fikir kerana Allah, dan berpisah keranaNYA ...
saya telah belajar bahawa peristiwa umat yang menyayat hati boleh terus menerus berulang bilamana saya melihat kebejatan sosial yang menimpa umat kita di Malaysia - sekali dihamparkan kepada saya masalah "haruan makan anak". Bagaimana rasa dan jiwa seorang anak dan remaja yang menjadi mangsa kesan satu institusi keluarga yang bangkrap dan bilamana tekanan itu menyebabkan sang anak ingin lari ... persoalaannya ke mana ?
saya telah belajar ketikamana bersama sekumpulan pejuang beridealogi sosialis dalam kongress tahunan mereka, tentang keprihatinan mereka terhadap masalah krisis ekonomi, makanan dan minyak global, masalah alam sekitar dan perubahan iklim dunia serta wacana mereka tentang anti kapatalisma dan bagaimana idealogi Marx mampu menjadi penyelamat kepada krisis yang ada. Saya bukan sama sekali penganut Sosialisma dalam maksud sosialisma Marx, Angles, Lenin, Mao mahupun Stalin namun para duat juga adalah sosialis dalam maskud dan definasi kita tersendiri. Maka sewajarnya apa yang saya dengar dalam kongres itu tidak saya terima bulat-bulat namun tidak juga saya menolak bulat-bulat.
saya telah belajar, apabila amanah di serahkan pada yang tidak wajar, maka simptom-simptom kemusnahan mula dirasai oleh rakyat dan negera/i. Tidak putus-putus saya menerima rungutan dan marah khususnya tentang seorang pemimpin politik yang berada dalam arus pakatan perubahan - yang kononnya mengajak manusia keluar dari regim yang penuh korupsi dan kelemahan namun pemimpin itu sendiri gagal menunaikan amanahnya. Inilah polemik kepimpinan dalam dakwah siasah dalam sebuah sistem politik demokrasi kepartian jahiiyah ... tidak hairan kenapa Badiuzzaman Said Nursi melafakan ucapan "A'uzubiLlah hi minas Siyasah" - aku berlindung diri pada Allah dari politik...
Saya telah belajar dari hikmah dan ilmu seorang guru, apabila badan, minda dan roh aktivis itu terlalu keletihan ... ilmu seorang guru itu punya nilai yang sungguh berharga ... singgahan singkat di teratak ilmu seorang guru yang terlalu banyak mencurah ilmu buat saya ... memahami makna Ilmu, maksud Islamisasi di Alam Melayu dan peranan bangsa dalam pembentukan ketamadunan dalam citra Islam ... satu pengisian yang menyegarkan sang duat untuk kembali ke medan juang...
Saya telah belajar dengan penuh rasa kepedihan, apabila dua kumpulan saudara saya yang berada dalam gelombang gerakan Islam, yang berada dalam wadah pelbagai berselisih - perselisihan yang membangun farksi yang bukan saja memberi gugahan pada gelombang gerakan Islam yang terus menerus menghadapi cabaran, namun lebih pedih lagi pertembungan saudara satu gerakan ini menceritakan episod hitam berkenaan kepercayaan, politik dan konspirasi, uslub dakwah, pemikiran dan halatuju idealogi gerakan, dan pelbagai wacana lain. Entah kenapa Allah hantarkan saya ditengah pertembungan ini ... kepala saya kembali sakit yang teramat ...
Saya juga terus menerus belajar, bagaimana tawa seorang anak dan rajuk seorang isteri punya peranan yang besar dalam perjalanan besar seorang duat dan sebuah keluarga dakwah
... segala yang saya pelajari ini berlaku hanya dalam tempoh seminggu dan sedikit lebih dari itu. Sebegitu banyak ibrah yang di dapati dari satu perjalanan yang singkat ... adakah mampu saya kongsikan dengan saudaraku yang lain ...? Adakah dengan menulis blog ini akan mencuri masaku menunaikan amanah dakwahku lain yang bertanggungjawab memberiku sebegitu banyak pelajaran dalam kehidupan ? Mungkin saudaraku akan faham, kenapa saya terus ragu-ragu untuk blog Imadudeen ini harus terus berwacana atau kembali pada keutamaan -keutamaan saya sebelum ini ...
Menulis Manusia ...
Saya tahu, saya tidak punya masa untuk menulis pelbagai walau ia adalah minat mendalam saya suatu waktu dahulu ... dari menulis risalah, cerita, artikel ilmiah, ucapan-ucapan retorik, sajak hingga ke genre peulisan "blues" yang jarang ditulis oleh penulisan di alam Melayu. Saya cukup suka menulis ...
Namun beberapa tahun dahulu saya telah sedar, saya punya keutamaan lain yang mana saya punya amanah yang lebih dari Allah SWT untuk saya langsaikan. Alhamdulillah ia juga satu bentuk penulisannya. Malangnya penulisan ini, tidak dapat lihat apatah lagi menghayatinya, penulisan ini, tidak mampu sama sekali untuk catatkan bahawa saya adalah pengarangnya. Saya telah disibukkan dengan keutamaan yang saya pilih sebagai duat, untuk menulis manusia lain sebagai duat ...
Moga Allah mempermudahkan urusan ini ...
...
Thursday, November 6, 2008
Ooooh Bummer
Satu pengajaran baik yang boleh belajar dari Obama, jika kita rasa apa yang kita fikir akan kemungkinan besarnya “politically incorrect – secara politiknya tidak bertepatan dengan kehendak rakyat/orang lain” – kita tak perlu bercakap tentang itu, kita buat …
Itu ulasan Chomsky dalam dua penilaian mudah memahami Obama di sini dan di sini.
Terlalu awal untuk membuat kesimpulan memuji dan terlalu awal untuk mengeji.
Mungkin ada sebabnya Obama berbicara sama seperti mana laungan perubahan di Malaysia … A new Dawn in the United State of America.
Fajar yang bagaimana kamu mahukan itu; Perubahan … tetapi ke mana ya ? Ke mana perubahan itu – percayakan saya !
itu bezanya politikus dan daie, walau sang politikus itu mahu bergelar daie, ia tetap beda ...
Wednesday, November 5, 2008
... anak itu tidak bersalah
Melihat, membaca dan menggeleng.
Mesej di forward kepada beberapa teman supaya mereka maklum sebelum aku bergegas naik bertemu dan menunaikan tanggungjawab buat seketika waktu untuk isteri dan anak-anak. Wajah senyum mereka memberi tawar pada beban yang terasa.
[Apa harus aku katakan ini suatu beban, “terlalu kecil berbanding mereka yang terdahulu”; iman ku mengingatkan.]
Usai urusan keluarga dan urusan yang terlebih dahulu dijanjikan. Aku mencapai kembali telefon tangan.
“Kenapa tak bagitau awal kat abang !”. Tegasku sepertinya sedikit marah.
“Saya tengok abang sibuk dan rasa sebelum nie, masalah nie tak besar dan saya boleh selesai… tak tau akan jadi macam nie”.
“Sibuk bukan alasan adik … nie melibatkan masalah akidah bayi yang akan dilahirkan tu … adik patut bagitau dulu, abang tahu mana keutamaan abang.”
Aku kesal kerana sedikit bertegas. Aku paham, ada segelintir yang cuba merasa kasihan pada aku yang seolah-olah terpaksa menjadi superman untuk semua masalah…. dari krisis ekonomi, masalah pemikiran, politik, pembangunan ke masalah sosial sebegini. Tiada yang indah dan perlu dibanggakan apa pun sekali untuk ini; kenyataannya kita cukup kurang sekali orang yang mahu berbuat. Maka acap kali, masalah ini akan jatuh ke pundak mereka yang terpaksa berbuat pelbagai.
Yakin dan fahamlah, bahawa aku sudah terlalu faham bahawa terlalu kurang kesannya jika kita berbuat pelbagai perkara dalam suatu masa. Kurang kesannya dan tidak menguntungkan dakwah dan umat. Aku cukup faham. Cuma yang juga perlu difahami, amat kurang yang mahu berbuat, maka kehadiran saya dan beberapa teman hanyalah untuk cuba hadir, mengisi kekosongan yang belum-belum dapat terisi.
Dulu masalah couple, hubungan bebas adalah keganjalan. Sekarang, masalah zina dan anak luar nikah sudah menjadi lumrah. Malangnya … ia belum tersenarai dalam profail kerja para duat selain dari maki hamun yang bakal kita persembahkan pada mereka seolah-olahnya sang penzina tidak mengetahui halal haramnya perlakuan mereka. Kamu akan terkedu, bila mengetahui sang penzina yang kamu maki hamun itu, yang juga seorang pelacur kelas atasan adalah lulusan Mumtaz, Akademi Pengajian Islam UM dalam bidang Syariah. Sedihnya, contoh yang saya berikan ini bukan rekaan dan dihadapi oleh saya dan rakan-rakan hampir sedekad yang lalu.
Masih, walau sudah terlalu sering melalui detik-detik masalah ini, dan sewajarnya kita sudah harus jadi mangli, namun aku tetap berdoa; moga Allah tetap menjadikan di hati ini rasa tidak enak bila mendengar masalah nie dan tidak terus merasa tuli, pekak dan buta dari mengambil endah semua ini seperti ramai manusia di luar sana.
“Masalahnya adik; nie masalah kelahiran luar nikah berlainan agama. Bukan masalah biasa”.
“Tapi abang, hari tu boyfriend dia dah tinggal dia, dia pun kata tak mau baby tu bila lahir nanti dan kita pun dah dapat banyak family yang bersanggup nak ambik jadi anak angkat. Nie alih-alih lepas sembilan pulak … tinggal 2-3 hari lagi, dia tak mau bagi pulak. Boy friend dia nak bagi kat family yang bukan Muslim”.
“… kalau tanya abang awal, abang akan bagitau … nie bukan kali pertama skrip sebegini jadi. Tahun lepas saja, dua kali kes macam nie sampai kat abang dan kedua-dua terlepas ”…
…
Tika menulis ini aku sedar, aku sepatutnya menulis sesuatu yang lebih substantif dari menceritakan peristiwa. Harusnya dikupas dan difahamkan kepada umum kerana pengajaran dari insiden Lina Joy, masyarkat awam punya sedikit kekeliruan dan menyangkakan “… how cruel can a religion be; separating love in the name of religion”.
Imad bangun ditengah pagi nie, tercari abahnya yang sepatutnya tidur disebelahnya. Sepertinya anak kecil satu tengah tahun itu memberi tahu aku “sudahlah Abah… banyak lagi kerja untuk abah selesaikan esok”. Aku menemankan dia tidur, dan Allah meredupkan mataku dalam hening sejuk pagi.
Panjang lagi perjalananmu RAUDHAH. Moga engkau akan istiqomah…
Monday, November 3, 2008
Pulang dari Busan ...
Saya di pandu untuk kerehatan yang tidak dipinta sejurus sampai dari
Perlahan-lahan hadir dalam nukilan minda, satu bayang hitam, mengelam gamat fikirku dengan gangguan yang tidak mampu tertolak samada dari segi logisnya mahupun dari segi faktanya. Kesedaran yang menakutkan. Aku menghantar pesanan ringkas (sms) pada saudaraku sambil sedikit tersenyum ketakutan “… mungkin Allah memberi kerehatan seketika supaya kita mampu melalui perang panjang yang telah dipersiapkan kepada kita dalam beberapa hari mendatang ini …”
Era ekonomi kapitalis sedang nazak di
Belum surut kebengongan kepala ini memikir bahana pembangunan, sosial dan ekonomi … suatu email pendek yang masuk dalam inbox memberi satu lagi rasa seram sejuk yang membingitkan. Pastinya suhunya tidak sedingin Busan yang mana kau baru berlepas darinya. Namun, rasa seram sejuk ini, pada malam yang serba panas, membuatkan akal minda ku tidak mampu lena …
“Persiap teman…”, bunyi email di mail box ku “ …Seorang aktivis hak asasi wanita melayu bakal mengisytiharkan dirinya murtad dan akan mencabar sistem undang-undang syariah di
Goncang lagi institusi syariah di Malaysia; diam kematu mungkin, para ilmuan dan ulamak Islam tidak tahu mahu bicara apa; para aktivis ada yang cuba berasionalisasi dan ada yang menyinsing lengan – mengasah parang; UMNO bakal menuding pada PR dan membawa sentiment perkauman jijiknya kegelanggang; BBC, CNN, AFP sekali lagi akan menarik fakus lensa mereka pada Malaysia dengan headline mereka … “freedom of religion in Malaysia on trial” …
… aku menutup buku “Totto Chan… the girl on the window” sebelum aku mengakhiri malam ku … redupkanlah mataku ini Tuhanku, esok masih hari yang panjang …