Tuesday, November 11, 2008

... perjalanan yang panjang ...



jam mendetik 2.30 pagi dan hanya ketika ini, setelah usai segala kerja, mampu saya membuka blog imadudeen ini. Tertawa kecil saya ... "mungkin ini satu lagi cubaan berblog yang akan gagal".

Tujuan Blog Imadudeen

Saya berhasrat untuk berkongsi dengan jumlah manusia yang lebih luas di luar sana tentang perjalanan hidup dakwah. Tentang maknanya, tentang keindahannya (walau indah itu tidak sepertinya cantik dan manis), tentang cabarannya, dan tentang matlamatnya.

Bukan ini satu biografi, memoir atau hikayat tentang keperwiraaan sang hulubalang atau kepimpanan @ kedaulatan seorang sultan namun sebuah perjalanan hidup seorang manusia biasa dalam mencari jalan kepada redha Tuhannya.

Saya tidak berhasrat untuk berkongsi tentang diri saya atau siapa saya, namun "intipati pengalaman", perjuangan yang kadangkala datang dan berlalu terlalu pantas namun punya ibrah (pengajaran) yang cukup besar. Manusia tidak akan dapat menghayati kepuasaan kehidupan jika dia tidak mampu memahami "makna" atau "mengambil pelajaran" ke atas setiap detik yang dilaluinya.

mengambil Ibrah dari kehidupan

Manusia gagal untuk membangun kehidupan yang lebih sejahtera dalam masyarakat dan suatu bangsa gagal membangun suatu tamadun kerana kita gagal mengambil ibrah (makna dan pengajaran) dari sejarah yang mereka telah lalui.

Kenapa Melayu gagal maju kehadapan kecuali cemerlang dalam statistik dadah, sumbang mahram dan yang sewaktu dengannya adalah kerana mereka gagal mengambil pelajaran dari kegagalan dan kelemahan mereka.

Kenapa saya cukup marah dengan "Demonstrasi Melayu terpinggir" yang didalangani parti yang kononnya menggelari diri Nasionalis Melayu ketika mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertukar tangan kepada pembangkang (PR). Adakah kerana saya menyokong PR / DAP maka itu saya marah ? jawapannya tidak ... kerana saya berada bersama sejarah - bersama masyarakat untuk melihat dan merasai bagaimana orang Tanjung Tokong terus dibelenggu kepayahan, hak mereka di ambil dan mereka di tikam dari belakang oleh bangsa sendiri. Bagaimana saya melihat orang rumah pantai Jelutong dikeluarkan dari kampung-kampung meraka atas nama pembangunan yang tidak "membangunkan" mereka. Bagaimana saya melihat air mata mereka mengalir ...

Mereka yang berdemonstrasi pada hari tu melaungkan "Melayu Terpinggir" dan marah pada kerajaan negeri yang mahu menilai kembali "Keistimewaan Melayu" dalam DEB. Mereka itu tidak berada bersama derita rakyat tanjung tokong dan jelutong dan sekian banyak penderitaan umat di Pulau Pinang yang tidak mampu dirakamkan. Jika mereka bersama dengan derita rakyat maka sepanjang 50 tahun mereka memerintah sebagai kerajaan negeri, mengapa mereka tidak mampu untuk mengangkat derita umat - mengeluarkan "melayu dari keterpinggiran" ... mereka hanya bercakap tentang melayu ketika di Perlantikan Mesyuarat Cawangan dan Bahagian serta dalam seminari dan bengkel di dewan berhawa dingin.

... bukan hajat saya lagi untuk mengupas nasib Melayu @ Muslim @ rakyat P.Pinang (yang sebenar), saya akan usahakan pada kesempatan yang akan datang, huraian di atas hanyalah sebagai penjelasan kenapa memahami ibrah dalam kehidupan adalah penting dalam kehidupan bermasyarakat mahupun individu.

Bilamana kita mampu melakukan penilaian yang jujur (muhasabah) pada diri kita tentang kehidupan, mengambil pelajaran (ibrah), maka hanya dengan itu kita mampu melakukan pembaikan (islah) dalam diri dan masyarakat kita. Melakukan "Islah diri" itu lebih penting kerana dengan itu kita sekaligus melakukan Islah kepada satu juzuk penting dalam kehidupan masyarakat -- maka apabila setiap diri dalam masyarakat mahu mengadakan muhasabah, mengambil ibrah dan melakukan Islah maka tentunya masyarakat itu seluruhnya akan merasai sejahtera (Islam)

Catatan Rasa ?

Kenapa rasa ? kerana secara jujurnya saya mengerti saya tidak boleh bermimpi untuk melakukan percubaan terlalu ilmiah atau akademis untuk menyampaikan maksud saya dalam blog ini. Saya sememangnya menggilai budaya ilmu dan dalam dunia kerja terlibat langsung dalam dunia penyelidikan dan mengetahui kepentingan "maklumat @ data yang sahih dan sumber rujukan yang benar".

Kesempatan masa telah terlalu membataskan saya hinggakan banyak artikel mahupun pelaporan bersifat ilmiah untuk kerja saya sekalipun, tidak mampu saya langsaikan ... the back log in my work as an activist and duat are tremendous - solely of two reasons; i'm yet to master my time the fullest and we have so so so much of work and so little in the number of duat dan activist ... Saya merasakan diri masih gagal menggunakan masa saya sepenuhnya dan efektif untuk aktivisma dan dakwah, walau bagaimana pun isteri saya berbeza pandangan, menyatakan kadangkala saya lebih tidak efektif menunaikan hak wajib pada anak dan isteri berkenaan masa.
hmmm ... harga sebuah mimpi perjuangan mungkin.

Maka sewajarnya, saya hanya mampu mengimpikan bahawa blog ini tidak lebih dari satu catatan rasa untuk mengambil ibrah pada satu perjalanan dakwah. Rasa dalam makna memperjelaskan konsepsi, pengamatan, tasawur dan metafizika tanpa mampu memperinci dan mendedahkan bukti yang dalam dan tuntas buat argumentasi / penghujahan. Saya mendoakan ada kebaikkan dan keberkatan dalam perkongsian ini.

Satu perjalanan yang pendek dan bermakna ...

... terlalu banyak yang ingin dikongsi kerana dalam waktu yang singkat berlalu, saya telah belajar terlalu banyak ... banyak tajuk-tajuk yang telah saya catatkan pada nota peribadi yang saya masih gagal untuk perpanjangkan menjadi satu catatan yang sesuai untuk dibaca.

saya telah belajar dalam seminggu lalu bagaimana "kuasa mampu membutai mata dan nilai manusia". itulah tempelak politik demokrasi atau siyasah dakwah demokarasi. Paling menyedihkan apabila yang buta itu juga adalah duat yang memegang panji-panji Islam.

saya telah belajar dalam seminggu lalu apabila berkongsi rasa dengan seorang saudara duat, seorang penulis prolifik indonesia dan editor majalah terlaris di Indonesia, ketikamana dia baru pulang melawat sebuah negara Islam dan saya, bilamana pulang dari Korea, tentang bagaimana nasibnya umat dalam Islam dalam dunia ini. Kami berkongsi pandangan tentang satu keutamaan yang belum dapat kita langsaikan oleh kita sebagai katalis perubahan. Ini bagi kami mungkinmenjadi penyebab kenapa negara umat Islam tidak mampu bangun keluar dari kemunduran (spiritual, intelektual, ekonomi dan sebagai) nya ...

tidak kurang perkongsian rasa yang bermakna dengan saudara duat tentang dakwah di Malaysia - kekangan intelektualisma dan aktivisma - bagaimana kita berjuang dalam serba kekurangan. terima kasih akhi saifulislam.com. Moga kita akan terus bertemu, berkongsi rasa dan fikir kerana Allah, dan berpisah keranaNYA ...

saya telah belajar bahawa peristiwa umat yang menyayat hati boleh terus menerus berulang bilamana saya melihat kebejatan sosial yang menimpa umat kita di Malaysia - sekali dihamparkan kepada saya masalah "haruan makan anak". Bagaimana rasa dan jiwa seorang anak dan remaja yang menjadi mangsa kesan satu institusi keluarga yang bangkrap dan bilamana tekanan itu menyebabkan sang anak ingin lari ... persoalaannya ke mana ?

saya telah belajar ketikamana bersama sekumpulan pejuang beridealogi sosialis dalam kongress tahunan mereka, tentang keprihatinan mereka terhadap masalah krisis ekonomi, makanan dan minyak global, masalah alam sekitar dan perubahan iklim dunia serta wacana mereka tentang anti kapatalisma dan bagaimana idealogi Marx mampu menjadi penyelamat kepada krisis yang ada. Saya bukan sama sekali penganut Sosialisma dalam maksud sosialisma Marx, Angles, Lenin, Mao mahupun Stalin namun para duat juga adalah sosialis dalam maskud dan definasi kita tersendiri. Maka sewajarnya apa yang saya dengar dalam kongres itu tidak saya terima bulat-bulat namun tidak juga saya menolak bulat-bulat.

saya telah belajar, apabila amanah di serahkan pada yang tidak wajar, maka simptom-simptom kemusnahan mula dirasai oleh rakyat dan negera/i. Tidak putus-putus saya menerima rungutan dan marah khususnya tentang seorang pemimpin politik yang berada dalam arus pakatan perubahan - yang kononnya mengajak manusia keluar dari regim yang penuh korupsi dan kelemahan namun pemimpin itu sendiri gagal menunaikan amanahnya. Inilah polemik kepimpinan dalam dakwah siasah dalam sebuah sistem politik demokrasi kepartian jahiiyah ... tidak hairan kenapa Badiuzzaman Said Nursi melafakan ucapan "A'uzubiLlah hi minas Siyasah" - aku berlindung diri pada Allah dari politik...

Saya telah belajar dari hikmah dan ilmu seorang guru, apabila badan, minda dan roh aktivis itu terlalu keletihan ... ilmu seorang guru itu punya nilai yang sungguh berharga ... singgahan singkat di teratak ilmu seorang guru yang terlalu banyak mencurah ilmu buat saya ... memahami makna Ilmu, maksud Islamisasi di Alam Melayu dan peranan bangsa dalam pembentukan ketamadunan dalam citra Islam ... satu pengisian yang menyegarkan sang duat untuk kembali ke medan juang...

Saya telah belajar dengan penuh rasa kepedihan, apabila dua kumpulan saudara saya yang berada dalam gelombang gerakan Islam, yang berada dalam wadah pelbagai berselisih - perselisihan yang membangun farksi yang bukan saja memberi gugahan pada gelombang gerakan Islam yang terus menerus menghadapi cabaran, namun lebih pedih lagi pertembungan saudara satu gerakan ini menceritakan episod hitam berkenaan kepercayaan, politik dan konspirasi, uslub dakwah, pemikiran dan halatuju idealogi gerakan, dan pelbagai wacana lain. Entah kenapa Allah hantarkan saya ditengah pertembungan ini ... kepala saya kembali sakit yang teramat ...

Saya juga terus menerus belajar, bagaimana tawa seorang anak dan rajuk seorang isteri punya peranan yang besar dalam perjalanan besar seorang duat dan sebuah keluarga dakwah

... segala yang saya pelajari ini berlaku hanya dalam tempoh seminggu dan sedikit lebih dari itu. Sebegitu banyak ibrah yang di dapati dari satu perjalanan yang singkat ... adakah mampu saya kongsikan dengan saudaraku yang lain ...? Adakah dengan menulis blog ini akan mencuri masaku menunaikan amanah dakwahku lain yang bertanggungjawab memberiku sebegitu banyak pelajaran dalam kehidupan ? Mungkin saudaraku akan faham, kenapa saya terus ragu-ragu untuk blog Imadudeen ini harus terus berwacana atau kembali pada keutamaan -keutamaan saya sebelum ini ...

Menulis Manusia ...

Saya tahu, saya tidak punya masa untuk menulis pelbagai walau ia adalah minat mendalam saya suatu waktu dahulu ... dari menulis risalah, cerita, artikel ilmiah, ucapan-ucapan retorik, sajak hingga ke genre peulisan "blues" yang jarang ditulis oleh penulisan di alam Melayu. Saya cukup suka menulis ...

Namun beberapa tahun dahulu saya telah sedar, saya punya keutamaan lain yang mana saya punya amanah yang lebih dari Allah SWT untuk saya langsaikan. Alhamdulillah ia juga satu bentuk penulisannya. Malangnya penulisan ini, tidak dapat lihat apatah lagi menghayatinya, penulisan ini, tidak mampu sama sekali untuk catatkan bahawa saya adalah pengarangnya. Saya telah disibukkan dengan keutamaan yang saya pilih sebagai duat, untuk menulis manusia lain sebagai duat ...

Moga Allah mempermudahkan urusan ini ...

...

No comments: