Saturday, November 22, 2008

Menjala ikan terakhir I...

Begitulah krisis yang cuba saya gambarkan bila mana dikurniakan masa 15minit berhadapan dengan Tok Pa dengan berbekalkan senjata sekeping memorandum dan pembentangan multimedia (power point presentation). Namun roh dan kekuatan saya yang seolahnya tidak punya dengus simpati dalam memberi kritik pada sang menteri, timbalannya dan semua ketua pengarah dan pegawai berprofail kementerian - bukan datang dari memo tersirat fakta atau power point (multimedia) tergagah teknologi. Namun kekuatan saya adalah wajah-wajah sahabat dan abang-abang nelayan yang berada disitu serta suara-suara para nelayan lain yang terus terngiang-ngiang dibenak hati saya sepanjang saya bersama pelayaran bersama mereka.

Pastinya saya bukan seorang Nelayan, saya dan teman-teman cuma hadir untuk membantu sebagai menyelesaikan amanah.

Setelah lebih 4 bulan menunggu, kami dikurniakan satu pertemuan singkat bersama Tok Pa. Usai Tok Pa mendengar penerangan 15 minit, dia membuka lagi ruang untuk sahabat-sahabat saya yang lain untuk bersuara. Sesungguhnya, seorang pemimpin yang bernama Menteri itu, “pada ketika itu” telah melakukan keadilan kepada para nelayan. AlhamduliLlah, hampir semua sahabat-sahabat dari Jaringan Nelayan ini tidak berdolak-dalik untuk menyuarakan segala derita yang melanda mereka dan keluarga besar nelayan kecil pinggir pantai. Pertemuan lebih satu jam itu membuah satu kemajuan yang baik.

Benarlah apabila Surah Al Rum 41 berbicara –

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Hebatnya Allah; dia membicarakan kerosakan ekologi ini bukan hanya pada daratan namun secara adil dan berimbang memberi pengetahuan pada manusia bahawa kerosakan yang sama sedang berlaku di lautan.

Ramai dikalangan masyarakat awam hingga kepada sebahagian besar ekologis sebenarnya tidak tahu atau tidak endah bahawa ekosistem lautan (marin) kita juga sedang berada dalam krisis besar.

Dan krisis alam sekitar sepertimana dalam surah di atas akan memberi implikasi kepada manusia itu sendiri. … “supaya Allah merasakan kembali akibat kepada perbuatan mereka”… kata Tuhan.

SunatuLlah yang menjalankan keadilan keatas semua makluknya, disukai mereka atau tidak.

Sepertimananya benar juga kata Newton yang diungkap secara sensasi dalam para cliché Reebok.

“Every action, there is a negative or positive reaction” …

… atau sepertimananya berlaku dalam teori keujaan ion …

“setiap ion yang teruja dari kesemulajadian dan kestabilannya, akan melepaskan tenaga untuk kembali kepada kestabilannya ….”

Keadilan Sunatullah. Begitulah yang terjadi …

Bilamana ekologi marin diperkosa secara rakus, melampaui had yang sepatutnya, seerti melangar keadilan alam dalam memberi hasilnya, maka kesannya… ekosistem marin itu akan makin punah seraya membawa bersama pelbagai kemusnahan dan penderitaan kepada manusia dan hidupan lain bersama-samanya.

Para komsumer akan merasai beratnya apabila tetimbang kati memberi harga ikan yang jauh beda dari zaman ayah bonda kita.

“Dulu zaman atuk, siakap nie 50sen aja…”

Harga tinggi tidak langsung memberi maksud bahawa taraf atau kualiti hidup kita lebih tinggi. Jangan perasan. Ia membawa maksud bahawa kita terpaksa membeli harga khazanah (disebut kapitalis sebagai sumber) alam dengan lebih mahal – kerana realtinya khazanah alam ini makin terhakis.

Para Nelayan kecil menjadi mangsa apabila khazanah yang semakin berkurang, kehendak yang semakin banyak, kudrat yang semakin berkurang … lalu menjadilah sebahagian mereka mangsa keadaan.

Ketika itu kita baru sedar, alam dan kita itu tidak terpisahkan, hatta Hutan Bakau yang payau dan masam itu menjadi erti yang besar buat sang nelayan. Tanpa bakau, tiadalah lautan – tanpa lautan, tiadalah nelayan …

Medan musywarah Wisma Tani, Jumaat, 13 November 2008, bukanlah satu pemula mahupun kejayaan atau penyudah kepada derita sang nelayan. Namun ia adalah satu penerusan, kepada satu pelayaran yang panjang. Moga perlayaran itu, bukan hanya pulang dengan bakul berisi, namun bakal berlabuh juga di pengkalan redhaNya ...

No comments: