Monday, December 1, 2008

Pak herry dan krisis Muslim Global

(3.11.08) (siri penuh yang dikemaskini 2 Januari 2009)

Saya cukup merindui sahabat saya ini, barangkali kami hanya bertemu setahun sekali atau dua, berchating di YM sekali sekala dan bertukaran sms apabila keperluan. Namun saya kira kami punya keinginan yang sama … pada Allah, pada RasulNya dan pada Deen ini yang dicintai.

Saya kira ada tujuan Allah, tidak mengkehendaki saya bertemu beliau dan pertemuan besar aktivis dan intelektual muslim ‘global’ yang dikedendalikan sendiri oleh jaringan yang saya bertapak, serta menghantar saya ke kota penuh kebuhsanan. Hikmah dan ibrah yang saya belum ketemu maknanya. Namun Allah juga yang mengtakdirkan pertemuan singkat saya dan saudaraku ini; kalau tidak pada tujuan menekuni ilmu, namun pertemuan dan perpisahan yang sekurang-kurangnya saya harapkan ia adalah pertemuan yang menjanjikan perlindungan dari Arassy yang tinggi dan memberi segala keselamatan.

Pak Herry, orang kecil, berjiwa besar, seorang murabbi dalam dakwah dan jihad politik di watan berisi 270 juta umat, dimana dia adalah seorang yang punya potensi memberi makna pada bumi umat Islam itu. Kelincahannya minda yang mampu dirakam melalui pena atau lebih tepat mata kekunci ke untaian makalah serta langsung mengorganisasi wacana dalam Koran sabil yang masih kekal menjadi wacana tatapan utama massa Indonesia, sudah memberi rekod besar betapa bermakna saudaraku ini.

KRISIS

“Ya, perjalanan pendek yang menarik …” katanya yang baru pulang dari bermusafir ke bebarapa bumi umat Islam. “Namun … kepulangan saya dari bumi yang melahirkan tokoh besar gerakan Islam dunia seperti Pak Iqbal dan Maulana Mawdudi memberi saya satu keresahan baru …” katanya, sedikit terhenti seolah sedikit mengeluh.

“Sepertinya kelihatan, umat Islam ini tidak mampu untuk mempersiap diri untuk bangun dari kondisi kebangkrapan umat yang mereka dan kita hadapi” … sebegitu, serba sedikit yang mampu saya ingati dari kata-kata yang terpacul dari bibirnya. “Ironisnya, bumi umat Islam, sepertinya refleksi bumi umat Islam lain, dalam keadaan yang tidak terorganisasi, punya tampak wajah yang tidak kemas, tidak bersih dan tidak indah, serta umatnya seperti tidak punya arah…” sepertinya sebegitu maksudnya. “Sepertinya, potensi ramainya umat itu tidak mampu membangunkan ketamadunan yang membawa citra sebenar Deen ini”…

Kata-katanya penuh tanya-tanya dan kegusaran.

SOLUSI

“Barangkali pak, kita telah meninggalkan satu keutamaan yang seharusnya kita dahulukan dalam membina umat ini…” entah mengapa lidah saya terus lancang berkata-kata. Saya meyakini, maksud kata-kata yang saya lafazkan itu tidak datang dari lisan saya semata-mata, namun keyakinan saya, makna yang cuba saya sampaikan itu datang dari Rabbul Jalil.

“Kita terlalu asyik mengungguli perjuangan yang populis dan nampak di mata massa. Kita mengilai kuasa dan kekuatan. Kita lupa bahawa umat tidak bersedia untuk bangun bersama kita”…

“Kita hanya mahu nampak, mahligai besar yang mahu kita bina dan itu membuat kita ghairah dan mengabaikan untuk membangun kota dan mahligai itu satu persatu, dengan cerucuk yang dalam dan kemas, dan kota yang terbangun dengan bata demi bata…” maksud yang ingin saya sampaikan ketika kami membelah pekat malam, dalam derusan mobil-mobil merentasi jambatan panjang antara tanjung dan bagan.

Entah maksud saya dalam perjalanan singkat dapat saya sampaikan dengan kata-kata yang tersusun dan jelas yang mampu difahami atau tidak, namun Pak Herry mengiakan, seolah-olah keluhan yang terpancar dalam hati saya itu sama dirasai oleh beliau.

Begitulah yang saya yakini, dalam perjalanan singkat saya mencari jalan Tuhan ini, saya kira kalau mahu dikira secara logiknya, harapan untuk melihat umat ini bangun sebagai satu ketamadunan dan “ustaz” kepada dunia; elok sahaja saya ketepikan.

Saya kira, dosa ini tidak harus hanya diletakkan pada umat itu sendiri. Saya meyakini, para arkitek perubahan, para katalis reformasi, para jurutera dakwah dan Islah, hatta mujahid yang menemui ajal dipelbagai sudut dunia punya ‘dosa kecil’ ini, yang membiarkan umat ini kekal dalam keadaannya. Saya “notakan” ia sebagai “dosa kecil” kerana saya kira semua mereka itu adalah mereka yang ikhlas dan berusaha dan tetap saya mendoakan saya dan mereka samada akan ditempatkan dikantung sang burung hijau atau menetap nanti bersama, ditepian sungai Jannatul Firdaus yang mengalir kekal.

Umat Islam kini kelihatan jelas, seperti mana pesan al Mustafa; bagai hidangan yang sedang di jamah mamah selahapnya… dari soal-soal kemiskinan, penyakit sosial dan kesihatan, kegilaan duniawa, konflik saudara dan militirisasi, sehingga pada kegagalan menjuarai perang idea dan ilmu samada sains, teknologi mahupun metafizika.

Para katalis perubahan seolah-olahnya benar tidak sabar. Ketika mana mengungguli keluh dan ratapan umat, mereka cepat benar terasyik untuk membawa ratapan dan keluhan itu pada medan populis massa, naik ke rostrum-rostrum retorika, mewacanakan ke dada-dada akhbar bahawa umat derita dan akhirnya saja menempelak sang penguasa agar mereka jatuh rebah untuk kita (dalam impian kita) mampu mengungguli umat sebagai penguasa baru yang memimpin umat kepada jalan yang lebih benar.

Acapkali, ketika piala kuasa sudah berada digenggaman, kita lihat meraka sekali lagi kelihatan tidak mampu untuk mengedar air kesejahteraan, kebenaran dan keadilan yang sebegitu didambakan oleh umat dan alam seluruhnya. Saya kira itu juga maksud yang cuba disampaikan oleh guru saya selama ini, ketika dia menotakan: Risalah untuk Aktivis Umat.

Apa persiapan itu ?

Batu-batu umat, tidak dibangun satu persatu dan cerucuknya tidak ditanam dalam dan kemas. Saya pastinya tidak mampu berlaku adil dalam menyampaikan maksud saya tentang apa persiapan yang sepatutnya dibina dalam penulisan sependek ini. Namun amat perlu saya rasakan untuk mengocak-ngocak neorun dan kalbu supaya hendaknya tidak dikarati dengan kelekaan.

Persiapan itu tidak lain sepertimana tujuannya para ulamak terdahulu telah bergolak gadai keringat, air mata dan darah dalam melahirkan “magnum opus” – karya agung atau melalui kehidupan mereka dalam memperjelaskan perkara asasi ini. Kerana itulah terciptanya pelbagai karya zaman seperti mana Imam al Ghazali menulis dalam penulisannya Ihya’ Ulumuddin – the Revival of Religious Sciences / Pemakmuran Ilmu-ilmu Agama atau Pengajaran Syeikh Muhammad Abdul Wahab dalam menangani Khurafat bangsanya, Tahafut al Tahafut oleh Ibn Rushd, al Aqeedah al Wasatiyyah oleh Ibn Taimiyyah, Tafsir al Manar oleh Muhd Abduh, Reconstruction Religious Thoughts in Islam – Maulana Muhammad Iqbal, Karya Pengajaran Agama Islam dan Tafsir Al Rahman oleh Buya HAMKA, Mukhaddimah Ibn Khaldun dan tidak kurang yang wajar sekali saya ketengahkan iaitu karya besar Prolegomena oleh Syed Naquib Al Attas. Ini hanya sebahagian kecil dari mujtahid dan karya besar sezaman yang telah berusaha mengembalikan “persiapan kembali oleh umat” kepada makna dan praktis pengamalan Deen yang sebenar.

Buat guru-guru ilmu, mungkin akan memarahi saya bila saya mengabungkan pemikiran pelbagai ulamak di atas yang sebahagian besarnya itu dilihat punya percanggahan kerangka dasar mahupun pendekatan dan meletakkan mereka dalam satu bakul yang sama. Namun, saya menukilkan pernyataan diatas dengan tujuan bahawa para ulamak ini punya hajat asal yang tidak berbeza dalam membangun asas-asas Islam yang asasi @ prinsipal yang makin ditinggalkan oleh umat Islam itu sendiri. Lebih malang, bukan pertembungan idea dan beda kerangka diantara para ulamak yang sebenarnya mampu menyuburkan umat bilamana perbezaan mereka mampu diteliti dan diperhalusi dalam kerangka pengkajian dan ilmu, namun ironisnya bagaimana lebih besar dosa umat kini yang telah meninggalkan mereka dan panduan yang telah mereka tinggal. Mujtahid-mujtahid ini TIDAK berada dalam minda dan kerangka idealogi majoritas umat muslim. Tidak salah, malahan adalah adil jika saya katakan, para katalis perubahan umat (aktivis, intelektual dan gerakan Muslim) yang sepatutnya menjadi guru dalam menyebarkan pengajaran dan panduan asasi (foundasi) dari para Ulamak lalu ini juga telah meninggalkan ‘fundemental’ ini.

Nah, akhirnya apa yang terjadi, kita telah keliru dalam menerima atau menolak kerangka ilmu dan idealogi luar yang tidak bersumber atau bersetuju dengan kerangka Allah dan RAsulNya. Kita terkapai dalam mencari definasi sebenar Deen dalam tsunami besar globalisasi neoliberal yang memupuk wahanisma “kecintaan dunia” yang membuak-buak dalam dada umat. Kita gagal mendefinasi kegagalan kapatalisma sebagai tragedi riba dan wahanisma malahan kita seolah-olahnya menjadi hamba pada faham pembebasan dan pencerahan (dibaca liberal Islam) yang berakar umbikan sekularisma ini.

Ketika itu segala krisis menjadi nyata samada jurang kemiskinan, penindasan dan penjajahan manusia ke atas manusia, keruntuhan sosial dan institusi keluarga, perubahan iklim dan kemusnahan alam, krisis makanan dan bahan bakar … Semua ini adalah hasilan kerangka ilmu dan idealogi tempang yang dianuti dunia hari ini. Kita para muslimin bukan sahaja tidak mampu mengatakan bahawa kerangka ilmu itu salah, bahkan kita lebih teruk lagi cuba menyesuaikan keagungan ilmu Islam dengan ketempangan satu ketamdunan yang runtuh dan melaungkan ia sebagai satu produk baru Islam sepertinya bila kita mampu menikahkan Kapatalisma dan Islam untuk melahirkan Kapitalis Muslim; sepertimana dikatakan oleh Muhammad Asad sebagai tragedi adaptasi umat Islam di persimpangan.

Apa yang para katalis perubahan mutakhir ini mampu lakukan ketika ini, hanyalah seperti sang bomba yang cuba memadam setiap kebakaran yang timbul, satu demi satu yang tidak kunjung habis.

Memadamkan kesan kemusnahan dan bukan menyelesaikan punca kemusnahan itu sendiri.

Saya kira Ibn Khaldun telah terlalu berjaya menggariskan satu panduan besar umat dalam wacananya tentang kedaulatan “sovereignity” dan pengstrukturan sosial yang sebenarnya mampu menjadi ubat kepada hegemoni globalisasi kapatalis yang mewarnai orde dunia hari ini, yang telah mewujudkan penjajahan @ kolianisasi baru dan jurang kuasa dan ekonomi yang besar antara kuasa besar dan dunia ketiga. Beliau benar-benar telah melangkaui masa apabila telah sejak awal lagi mewacanakan pembangunan mapan yang hanya akhir dua dekad ini rancak dibicarakan setelah dunia ini terbukti uzur dan semakin temat. Sayangnya, Mukhadimmah gagal dibawa oleh muslim hari ini untuk mejadi Magnum Opus dalam silibus displin ilmu sosiologi yang sebenarnya dilahirkan oleh ilmuan Islam ini.

Ketika ini, peran jamaatul Islam sebagai satu umat besar cukup penting dan strategis. Ada benarnya, kita harus mengurangkan (mitigasi) kerosakan dan serangan yang melanda umat dengan sesekali memainkan peran sebagai ahli bomba (fire fighting). Namun dalam waktu yang sama kita harus meletakkan keutamaan untuk membangunkan kerangka ilmu yang sebenar bagi menyusur galurkan kembali haluan umat bukan sahaja untuk keluar dari korupsi hegemoni keilmuan (dibaca kelimuan ketamadunan barat) bahkan membangun satu solusi yang benar kepada ketamadunan Islam sebenar atau proses Islamisasi.

Strategi keilmuan ini, seterusnya harus diturunkan dari wacana kefalsafahan dan epistemologikal kepada tahap pendidikan umat ke akar umbi. Generasi Salahudin al Ayyubi tidak lahir semata-mata kerana lahirnya seorang pahlawan perang yang mampu mengangkat senjata namun mujtahid dan generasi ilmuan sebelumnya telah mempersiapkan umat seberapa lama sebelum itu untuk menyambut kelahiran seorang pemimpin yang mampu memerdekan umat dari penjajahan – aqidah, kelimuan, budaya, kuasa dan ekonomi.

Saya meyakini, kita tidak kurang harus mampu menghasilkan kemenangan-kemengan kecil yang meluas – kemenangan ilmu dan kemenangan minda muslim yang benar-benar merdeka dari penjajahan ketamadunan dan kuasa barat. Hanya bangsa Pakistan yang benar merdeka mampu memerdekan dirinya dari penjajahan yang sedang berlaku ke atas diri mereka dan bangkit sebagai satu Negara sebenar. Begitu halnya dengan bangsa-bangsa umat Islam lain di seluruh dunia. We have few battles, that we have won, but it had been overwhelmed by the greater defeat that we have suffered – ada benarnya kita telah memenangi beberapa pertempuran kecil namun kejayaan ini tidak dirasai dek ditenggalami kekalahan besar perang-perang lain yang menimpa umat Islam.

Kita harus terus mencipta kemenangan dalam pelbagai pertempuran kecil dan bersama jaringan aqidah umat Islam kita boleh memenangi perang besar yang melanda umat kita hari ini. Moga yang berfikir mendalam mampu memahami.