Tuesday, November 18, 2008

Serambi yang kosong …


17 November 2008

...sedikit sedih melihat rumah kecil itu masih kekal sepertinya. “Rumah siap, pahat berbunyi…” kata orang melayu. Namun kali ini, bukan masalahnya untuk pahat itu berbunyi, namun sedihnya apabila pahat itu berhenti berbunyi buat beberapa ketika sebelum kembali berpahat … RAUDHAH masih belum siap, fizikal pembangunannya belum selesai. Nak di marah banyak-banyak, si tukang tu pun sahabatku, yang tidak kurang juga pengorbanan dakwahnya. Kalaulah ada yang dapat membuat susulan dan memantau kerja-kerja ini, mungkin lebih cepat fizikal RAUDHAH ini diselesaikan…

Serasa seperti sebelah tangan dakwah ini hilang, bilamana koordinator dakwah di Serambi Dakwah kami terpaksa beralih arah.

Saya cukup percaya kita memerlukan pekerja sepenuh masa dalam dakwah. Tujuan pekerja dakwah sepenuh masa ini bukannya untuk menyampaikan kebenaran, kerana menyampaikan kebenaran tidak memerlukan bayaran/gaji dan adalah tanggungjawab setiap mukmin, namun pekerja dakwah sepenuh masa ini adalah menguruskan gerakan. Keperluan dakwah yang cukup pelbagai, mengkehendaki ada yang mampu memberi fokus dan menguruskan kerja dakwah secara berkesan secara sepenuh masa …

Sayangnya harga untuk memiliki pekerja dakwah sepenuh masa ini adalah cukup mahal. Tidak bukan maksud saya pada gajinya … namun harga untuk memahami keperluan untuk berdakwah sepenuh masa. “Dakwah sebagai satu kerjaya … gila !” Kata sebahagian orang.

Harganya … adalah untuk memahamkan sang ibu dan ayah yang lebih dua dekad menyuap makan ke mulut kita – bahawa anak soleh itu bukan pada kerjaya “yang bernama” dan cek gaji berangka empat dan lima. Maharnya adalah memahamkan sang isteri (@bakal siteri), bahawa rezeki ini adalah milik Allah dan perniagaan yang cuba dibuka ini, keuntungannya bukan sekarang namun berlipat ganda jumlahnya dihari-hari nanti. Harganya untuk teman-teman, supaya mereka memahami, disaat kami berjuang disini, ada amanah yang harus kamu jelaskan dalam bentuk infaq, zakat, keringat, masa atau setidak-tidaknya doa. Harganya adalah untuk meyakinkan diri bahawa walau seberat mana mehnah yang mendatang … aku percaya disinilah tempat aku akan bertemu Tuhan dengan senyuman yang mekar mewangi.

kan sudah saya katakan, harganya cukup mahal.

Tak adik ku sang cahaya fitrah … jangan tersilap dengan getus hati abang ini. Tulisan ini bukan untuk kamu. Kamu sudah melalui satu ujian, kamu sudah mencuba mengatasinya … kamu menang dalam usaha, mungkin tidak berapa berjaya dalam hasilnya… kan itu sudah satu perjalanan dakwah. Untuk kamu … lihat kehadapan, teruskan perjalanan dakwah ini yang masih panjang dalam langkah derap yang baru …

Saya membicara ini, untuk mereka-meraka yang seterusnya akan mengisi serambi-serambi dakwah kami … samada untuk seketika atau untuk hidup dan mati bersamanya…

Serambi yang kosong, memudikkan pahat yang terus bertalu di RAUDHAH, terus bertalu entah bila mahu siapnya… Mudahkanlah urusan kami ya Allah …

1 comment:

Mujahidah Fie Sabilillah said...

Salam perjuangan.. Moga segalanya dipermudahkan..