Showing posts with label API. Show all posts
Showing posts with label API. Show all posts

Monday, March 19, 2012

Syahid masih ... impianku

sebenarnya aku rindu,
pada anak-anakku yang bermukim entah ke mana,

pada kegagalanku dalam dakwah kampus yang gemilang,
menyatukan hati yang lisannya sama, hatinya beza,

pada anak-anak ditangga asrama tabung haji,
akan percaya merka pada sang abang, yang berilmu tiada,

pada menimba kegagalan, pada dakwah yang ingin berjasa...
namun ... tersungkur di pintu kampus jua,

pada dakwah kami, yang cuba mengerti erti masyarakat,
... dari masyarakat, kepada masyarakat,

pada wasiat seorang abang, yang terkubur kaku di rungkup,
yang ku cuba mendokong teras perjuangannya walau seketika,

pada teman-teman warisan dakwah lama, intelektualisasi ulamak,
yang kini tidak pasti ke mana,

pada cubaanku melilit, serban putih dikepala, bersama guru-guruku,
tika ulamak lain diam gelita,

pada anak-anak di taman harapan, yang pernah kenal jalan pulang,
yang hancur terbakar, bakaran sang syaitan ...

pada teman dan anak-anak, dalam cubaanku, mengsarwajagatkan Islam,
dalam makna-makna alam sekitar, kelestarian dan konsumerisma,

pada teman-teman,
yang mengangankan, illuminitas itu bukan hanya pada tangan Yahudi,

pada sahabat-sahabat, di kampung, bendang, bukit dan lautan,
ketika gunung-gunung ketamakan dan kesombongan itu cuba kami robohkan,

pada darah daging yang terpisah kerana sebahagian perjalanannya,
dan setiap detik ketakutan, yang terpaksa ku laluinya,

pada yang telah ku kecewakan, dan hilang harapannya,
akan sebuah impian, walau mustahil dihaqiqi namun kekal dimajazi,

pada api, yang telah kunyalakan, yang tidak mampu kutunggu ia marak,
dan tak mampu ke lindung lagi dari ia padam, tika badai meniup,

pada forum ikatan, yang ingin kuikat sebagai tanda kesatuan Islamis,
dalam bumi kita yang minoritas,

pada anak-anak Fatoni, yang punya segala potensi, dan tidak kenal lelah,
yang mengharap pada seorang abang yang tidak mampu berbuat banyak,

pada anak-anak yang telah menitiskan air mata,
yang bengit telinga dimarahi,
yang tersentuh walau sedikit cuma,
yang tidak pernah lekang doaku untuk mereka,

pada teman, adik, anak-anak, guru, abang dan mereka,
yang masih percaya, benih ini ditanam, untuk di tuai di syurga,

di mana saja kamu berada;
titipkan juga sejalur doa,
moga kutetap di jalanNya,
dan syahid itu masih impian kita ...

Tuesday, December 22, 2009

Mitos Burung Kecil Ibrahim dan Amanah Khalifah

Burung Kecil Ibrahim AS; sang Khalifah


Tika mana api itu membakar,
Seorang kekasih Allah,
Dia pernah hadir hingga menjadi satu lagenda,
Dengan tetes-tetes kecil air,
Diparuh yang sebentuk,
Kau Sirami keikhlasan pada lautan keengkaran,
Yakin aku, sepertimana terakam dalam kalimat pewaris anBiya',
Namamu telah terpahat di kota-kota syurga,

Namun sang burung kecil,
Ku harap baktimu, tak tersalah tanggapi,
Oleh para khalifah bumi,

Api yang tika dulu membakar Ibrahim,
Ingin ku khabar pada mu; kian marak,
Membakar bukan hanya Nabi,
Bahkan cuba dibakari; Kalam Tuhan,
Juga pewaris nabi,
Juga lisan adabi,
Juga budi insani,

Namun Sang Burung kecil,
Jihadmu, kini menjadi tempelan,
Di lidah-lidah waris Al Anbiya’ yang penuh bebalan,
Para Duat, Juru Islah dan Ulamak,
Engkar pada Amanah kekhalifahan,
Bermujahadah dalam amal sang burung kecil,
dalam jasad kesempurnaan insan,

Sebenar-benarnya mereka,
Melafazkan dari listrik mata haiwani,
Hanya satu citra Wahani,
Yang menutupi landasan imani,
Litupan ilmi,
Jauh dari kelurusan jalan-jalan akhlaki,

Tika itu sang burung kecil,
Belum tentu sang helang akan punya makna,
Jika pun hadirnya ia,
Berhadapan, api baru Ibrahim a.s.,

Telah jelas dari benak fahamku,
Bahawa tetes air menitis dari paruh mu,
... yang sebentuk cuma,
Sudah punya jannah harganya,
Namun malangnya aku,
Tidak lahir seperti kamu,
Kecil, berparuh dan terbang rendah,
Kerana aku seorang manusia,
Dilahir cukup sifatnya

Sang burung kecil,
Mungkin seraya benar, metafora tuhan itu indah,
Namun kebebelan manusia itu juga punya uniknya,
Hingga hanya Tsunami bisa menggerak lidah kepada lafaz bismi,
Astaga yang tidak putus-putus, bertaubat seketika.

Namun bila Tsunami berlalu,
Dilupa pergi,
Tsunami kefasadan, keengkaran dan kemaksiatan berganti,
Dan manusia dihanyutkan oleh kecintaan Duniawi, kecintaan Wahani,
Pewaris al Anbiya’ hanya duduk merenungi, menginsafi,
Bermujadahlah mereka, sekadar burung-burung kecil,

Kuharap kau bisa datang kembali,
Hai Sang Burung Kecil,
Memberi pesan pada para Khalifah bumi,
Pada Amanah yang dicuaikan,
Pada Ibrah yang disalah fahami,
Bahawa mereka bukan kamu,
Dan tidak terangkat taklif,
pada alasan-alasan Wahani,

Maka diamlah kamu disana Sang Burung Kecil,
Berkicauan di Raudatul Jannati,
Moga-moga kami Khalifah Bumi ...
tidak Pasrah meratapi.

Hijrahlah...

Abu Saif al Mahshari
1 Muharam 1431H

Tuesday, November 18, 2008

Serambi yang kosong …


17 November 2008

...sedikit sedih melihat rumah kecil itu masih kekal sepertinya. “Rumah siap, pahat berbunyi…” kata orang melayu. Namun kali ini, bukan masalahnya untuk pahat itu berbunyi, namun sedihnya apabila pahat itu berhenti berbunyi buat beberapa ketika sebelum kembali berpahat … RAUDHAH masih belum siap, fizikal pembangunannya belum selesai. Nak di marah banyak-banyak, si tukang tu pun sahabatku, yang tidak kurang juga pengorbanan dakwahnya. Kalaulah ada yang dapat membuat susulan dan memantau kerja-kerja ini, mungkin lebih cepat fizikal RAUDHAH ini diselesaikan…

Serasa seperti sebelah tangan dakwah ini hilang, bilamana koordinator dakwah di Serambi Dakwah kami terpaksa beralih arah.

Saya cukup percaya kita memerlukan pekerja sepenuh masa dalam dakwah. Tujuan pekerja dakwah sepenuh masa ini bukannya untuk menyampaikan kebenaran, kerana menyampaikan kebenaran tidak memerlukan bayaran/gaji dan adalah tanggungjawab setiap mukmin, namun pekerja dakwah sepenuh masa ini adalah menguruskan gerakan. Keperluan dakwah yang cukup pelbagai, mengkehendaki ada yang mampu memberi fokus dan menguruskan kerja dakwah secara berkesan secara sepenuh masa …

Sayangnya harga untuk memiliki pekerja dakwah sepenuh masa ini adalah cukup mahal. Tidak bukan maksud saya pada gajinya … namun harga untuk memahami keperluan untuk berdakwah sepenuh masa. “Dakwah sebagai satu kerjaya … gila !” Kata sebahagian orang.

Harganya … adalah untuk memahamkan sang ibu dan ayah yang lebih dua dekad menyuap makan ke mulut kita – bahawa anak soleh itu bukan pada kerjaya “yang bernama” dan cek gaji berangka empat dan lima. Maharnya adalah memahamkan sang isteri (@bakal siteri), bahawa rezeki ini adalah milik Allah dan perniagaan yang cuba dibuka ini, keuntungannya bukan sekarang namun berlipat ganda jumlahnya dihari-hari nanti. Harganya untuk teman-teman, supaya mereka memahami, disaat kami berjuang disini, ada amanah yang harus kamu jelaskan dalam bentuk infaq, zakat, keringat, masa atau setidak-tidaknya doa. Harganya adalah untuk meyakinkan diri bahawa walau seberat mana mehnah yang mendatang … aku percaya disinilah tempat aku akan bertemu Tuhan dengan senyuman yang mekar mewangi.

kan sudah saya katakan, harganya cukup mahal.

Tak adik ku sang cahaya fitrah … jangan tersilap dengan getus hati abang ini. Tulisan ini bukan untuk kamu. Kamu sudah melalui satu ujian, kamu sudah mencuba mengatasinya … kamu menang dalam usaha, mungkin tidak berapa berjaya dalam hasilnya… kan itu sudah satu perjalanan dakwah. Untuk kamu … lihat kehadapan, teruskan perjalanan dakwah ini yang masih panjang dalam langkah derap yang baru …

Saya membicara ini, untuk mereka-meraka yang seterusnya akan mengisi serambi-serambi dakwah kami … samada untuk seketika atau untuk hidup dan mati bersamanya…

Serambi yang kosong, memudikkan pahat yang terus bertalu di RAUDHAH, terus bertalu entah bila mahu siapnya… Mudahkanlah urusan kami ya Allah …