Tuesday, March 17, 2009

Membangun sebuah RAUDHAH

Membangun sebuah RAUDHAH

[sebuah perjalan Dakwah Sosial)


“Tiada beban batu digalas” ... “Menanggung biawak hidup” ...


Itulah seolah-olahnya makna senyuman yang tertempa diwajah mereka pada kerja yang dibuat ini walau tidak mengeluarkan suara. Sebenarnya ... saya atau kami juga berperasaan begitu.


Namun, berikan kami satu cara lain yang mampu kita perbuat bagi mengatasi kebejatan sosial yang makin mengganas. Sepertinya ombak Tsunami yang menghempas, begitulah terasanya fenomena kegawatan sosial dan budaya yang menimpa kita pada hari ini.

10 tahun yang dilalui bagi saya secara peribadi, dan mungkin lebih singkat atau lebih panjang lagi pada beberapa teman terdekat telah memberi satu pengajaran besar buat kami – bahawa barah ini makin parah dan pihak wewenang mahupun pelbagai pihak lain telah membiarkan penyakit sosial ini terus mekar seterusnya meruntuhkan masyarakat. Bahasa mudahnya ... masalah ini makin kronik, semakin teruk, seolah-olah sudah tiada jalan kembali.


Mata kami bulat apabila melihat kegawatan sosial ini dan mengklasifikasikan kebejatan ini pada 5 kategori utama samada ialah:

1) Penggunaan bahan berbahaya, ketagihan dan toksik – sepertinya koka, ganja, syabu, ice, cocktail, chasing the dragon, ubat batuk, gam mahupun arak;

2) Zina dan pergaulan bebas – termasuk seks bebas, pergaulan bebas, khalwat, mengandung tanpa nikah, pelacuran, bohsia, belen, pronographi, rogol, berpakaian mendedahkan, gay, lesbian, ladyman, sumbang mahram, liwat, dan sepertinya;

3) subkultur dan budaya bebas – blackmetal, gothic, punk, rempit, skin head, hedonisma, parti seks, dan seangkatannya;

4) Jenayah dan Juvana – merompak, merogol, bunuh, bunuh diri, lari dari rumah, kongsi gelap, apache sereng, vandalism, keganasan dan sewaktu denganya serta

5) Kegawatan aqidah – murtad dan kesesatan aqidah.


Punca; Ini soalan yang berungkai-rungkai jawapannya. Mudahnya saya simpulkan, kita hidup dalam sistem yang rosak dan merosakkan.


Tidak perlu lagi sebenarnya untuk kita turun jauh dalam lorong-lorong hitam, apartmen kosong dan bawah jambatan untuk melihat fenomena ini. Ia ada di tempat kita beriadah, membeli belah, di rumah saudara dan jiran kita, di tepi jalan, di dalam kelas, di dalam handphone dan komputer anak kita mahupun di dalam rumah kita sendiri.


Sepuluh tahun dahulu, mencari kebejatan sosial sepertinya ghost buster mencari sang hantu. Hari ini, tiada hari yang kita tidak ditampilkan dengan pengajaran-pengajaran kesan dari kegawatan sosial ini. Seorang anak yang menendang emaknya untuk duit membeli syabu, seorang ibu yang terpaksa membuat laporan polis untuk kes rogol apabila anaknya seorang belen (istilah utara) @ bohsia (istilah klasik) terlajak memakai 6 teman lelaki dalam satu masa, seorang bayi yang dijual pada lelaki berlainan agama untuk duit RM3,000 untuk merasa lebih berharga kerterlanjuran yang dilakukannya bersama entah siapa, pemuda-pemuda yang kencing dan menginjak-nginjak al -Quran bagi memaknakan pengabdian mereka pada si Iblis, mahupun keiblisan seorang bapak yang menuntut kegadisan anaknya setiap kali anaknya mahu wang untuk sekolah, serta seorang anak gadis yang kehilangan punca setelah bertahun menjadi dagangan di belakang lorong berdekatan balai polis di Bukit Bintang.


Malangnya semua cerita ini bukan rekaan.


Allah tidak mengkehendaki dunia ini suram sebegini... kitalah yang sepatutnya mencorakkan wajah kelam kelabu dunia kepada warna hijau, biru dan pelangi yang sepatutnya bersinar.


Masyarakat yang hanyut dalam arus keduniaan – wahanisma.


Telah saya bicarakan bahawa kita hidup dalam sistem yang rosak. Cara hidup, budaya dan agama moden yang kita terima pakai adalah semata-mata untuk kecantikan, kegembiraan dan kepuasaan yang nampak dan sementara; kini dan sekarang.


Kita berkejaran untuk memiliki dunia dalam pelbagai bentuk keindahannya. Kemewahan kekayaan, lambakan wang ringgit, menjadi mimpi dan igauan siang dan malam kita. Kepuasan yang kita tuntut dengan cuba memiliki semua kemewahan; kereta, rumah, pakaian bergemerlapan, telefon tangan tercanggih, elektronik media (komputer riba, TV satelit) hingga pada perhiasan badan pada jam, tali pinggang, emas berlian dan sebagainya. Sang kaya terus hanyut dalam kegilaan kemewahan, dan sang papa juga berpenat lelah untuk berlagak dan berlakon untuk juga jadi kaya dan mewah. Sang papa kadangkala sanggup menjual harga pendidikan anak untuk membayar langganan TV satelit bulanan.


Kegilaan untuk terus memiliki semua yang ada di dunia memerlukan manusia diperdaya untuk merasa bahawa kemanisan madu dunia ini harus dihirup sepuas-puasnya. Alat-alat peperangan untuk memperdaya manusia untuk merasa dunia ini harus dimiliki seluruhnya dipersiapkan – maka lahirlah pelbagai bentuk iklan, lakonan, artis, fesyen, lagu, dan hiburan dan pelbagai bentuk kelekaan (hiburan) lagi yang terus menghanyutkan manusia dalam alam kegembiraan sementara yang melalaikan. Maka kelalaian dan lupa diri ini menyebabkan keinginan manusia bertambah untuk lebih seronok, lebih gila dan merasa tiada kepuasan yang memuaskan.


Ketika ini manusia melangkah masuk ke dunia yang diluar batasan ciptaan Allah iaitu agamanya; Deenul Islam yang menjamin manusia merasa cukup sekadarnya dengan nikmat dunia. Manusia tidak merasa cukup dengan dunia; lalu memilih untuk tergolong dalam kelompok manusia diluar batasan sosial dan memilih seks bebas/zina, dadah, arak, judi, jenayah dan kesesatan aqidah sebagai pilihan. Cinta pada dunia ini bukan hanya satu trend dan insiden sementara, namun telah tersebati dalam budaya masyarakat dan tidak salah sama sekali untuk ia disamakan sebagai satu agama baru dalam masyarakat moden hari ini. Masyarakat yang rosak dan merosakkan.


Masyarakat yang pekak, bisu dan buta


Adat insan itu adalah makhluk yang sering lupa. Maka kelupaan itu harus disedarkan. Mayarakat yang berilmu akan memlih jalan yang benar dengan panduan (agama) Allah. Namun, sekali lagi badai kecintaan dunia ini melanda umat manusia. Mereka dilalaikan dengan kesibukan untuk memiliki dunia lalu tidak hentang lagi untuk mencari dan memiliki kebenaran ilmu dalam mencari makna diri dan tujuan kehidupan, lantas memilih untuk terus dilalaikan. Masyarakat ini juga telah hilang rasa untuk memperbetulkan diri mereka apatah lagi orang lain untuk mengajak sesama manusia kepada jalan kebaikan dan kesejahteraan dan menjauhkan diri atau keluar dari kejahilan, kelalaian dan kerosakan (fasad dan mungkar).


Mereka sibuk dan lalai memenuhi keperluan keseronokan dan kepuasaan peribadi dan merasakan kerosakan yang berlaku di keliling mereka bukan hal mereka. Bahkan yang memiliki ilmu dan kedudukan sekali menjadikan ilmu dan kedudukan itu sendiri, yang sepatutnya menjadi satu amanah sebagai batu loncatan untuk memiliki lebih banyak dari dunia ini. Mereka tidak sedar kelakuan mereka ini akan membenihkan kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat mereka lantas membentuk satu gunung kebobrokan sosial yang akhirnya bakal membenamkan orang yang mereka sayangi malahan diri mereka sendiri. Masyarakat ini telah menjadi pekak, bisu dan buta.


Puas sudah didengari, seolah-olah saya menyalahkan orang lain untuk semua masalah ini, sedang saya dan kita ini sendiri adalah sebahagian masalah tersebut. Saya dan teman-teman sedar, manusia kerdil tidak mampu menahan Tsunami kebangkrapan Sosial ini. Tembok-tembok yang dibina manusia kerdil tidak mampu menahan ombak yang saban waktu berkunjung apatah lagi sebuah Tsunami. Hanya sanya yang mampu menjadi tembok sebenar malahan mensuci kekotoran dan memurnikan kerosakan adalah pohon-pohon ditepian lautan yang bilamana ia ditanam kembali satu persatu, dan dibiar ia tumbuh mekar merimbun akan mampu bertahan bila ribut dan sang Tsunami melanda, malahan akan melahirkan anak-anak ikan dan udang yang bakal memberi manfaat pada lautan dan daratan. Indah sungguh kitab alam ciptaan Tuhan. Punya Ibrah untuk ditempa.


Permulaan semua ini adalah dengan satu kesedaran yang difahami dengan sebenar-benarnya.


إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. {13 : 11}


Derita umat dan kegawatan ini harus ditelaah dengan kita sendiri harus terjun untuk mengambil ibrah (pengajaran) dan memahami lenggok seni musuh yang merosakkan ini agar satu perancangan (makar) peperangan terhadap gejala sosial mampu dipersiapkan. Kefahaman pada derita ini hendaknya membina satu keinsafan, penghayatan dan kesedaran. Keinsafan dan kesedaran hanya menjadi kekecewaan dan kepasrahan andai tidak dilengkapkan dengan tindakan dan usaha-usaha perubahan yang strategis (seperti saf yang tersusun kukuh) dan berterusan (istiqomah).


Ibrah ini, bersama tahun demi tahun kegagalan, mempersiapkan kita membangun satu makhroja, moga ianya dipandu oleh hidayah dan petunjuk Allah.


Membina sebuah LANDAS ...


Program sosial ini diawali dengan Latihan Aktivis Dakwah dalam Isu Sosial (LANDAS). LANDAS adalah sebuah program latihan berfasa (3 fasa modul dipersiap untuk tahun 2009M/1430H) yang membawa para aktivis dakwah, arkitek perubahan dan alim ulamak untuk turun lapangan untuk memahami status kegawatan sosial secara terus (first hand encounter).


Program ini disulami dengan latihan seni dakwah yang mengkehendaki para pelatih mendekati kumpulan bermasalah secara langsung. Kemampuan Daie mendekati (hemoi – istilah utara) dan memahami kumpulan bermasalah, menghulurkan kelembutan dakwah untuk memberi harapan dan hidayah adalah satu latihan intensif yang memerlukan kemahiran komunikasi, psikologi, emosi dan spiritual yang harus rancak berpencak dalam satu waktu yang singkat.


ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. {16:125}


Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat 125, Surah An Nahl, bahawa garis besar para penda'wah dapat dibahagikan kepada tiga golongan dan dihadapai dengan kaedah yang berbeza:


a. Golongan intelektual yang cintakan kebenaran dan dapat berfikir secara kritis, cepat dapat menangkap mesej da'wah dengan kekuatan akal fikiran dengan dalil dan hujah-hujah yang diyakinkan. Mereka ini harus didekati dengan cara "hikmah الحكمة))


b. Golongan awam dan orang kebanyakkan yang belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menerima pengertian yang tinggi-tinggi dan mendalam. Perlu memberikan pendekatan dan pendidikan dengan ajaran yang mudah difahami denga cara "mau'izatun hasanah". الموعظة الحسنة

c. Golongan yang mempunyai tingkatan kecerdasan di antara "hikmah" dan "mau'izatun hasanah". Mereka ini perlu kepada pendekatan "mujadalah billati hiya ahsan", المجادلة بالتى هى أحسن dengan bertukar-tukar fikiran secara sihat dan layanan cara yang baik-baik.


Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dalam kalimat:

خاطبواالناس على قدر عقولهم

"Bicaralah kepada manusia mengikut kadar kecerdasan akal mereka itu"

Sabda Nabi s.a.w. :

أمرنا أن نكلم الناس على قدر عقولهم

"Kami diperintahkan, supaya berbicara kepada manusia menurut kadar kecerdasan akal mereka masing-masing"

Landas dalam waktu yang sama menjadi sebahagian dari proses pemetaan isu sosial dalam komuniti dan tidak kurang menjadi medan advokasi dan pendidikan menggunakan suara media.


Aktivis LANDAS, bergraduasi dari latihan lapangan ini seperti perkumpulan burung-burung CAMAR (Perkumpulan Cakna Amar Maaruf Nahi Mungkar) yang akan menebarkan kesejahteraan sepanjang perjalanan mereka dan setia memerhati agar kemungkaran tidak berlaku di bumi Allah ini (Skuad CAMAR)


Firman Allah s.w.t. :


وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya : "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berda'wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya." (Ali Imran 104)

UNGGAS mengepakkan sayapnya


Latihan dilapangan tidak mencukupi tanpa perlaksanaan solusi yang tuntas dilapangan sendiri. RAUDHAH dan teman-teman sepanjang 2 tahun ini telah cuba membangunkan sebuah Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) yang pada awalnya mendapat dokongan setidak-tidaknya moral dari sebuah kerajaan negeri di utara semenanjung. Walaupun hingga kini komitmen pada dokongan ini masih tidak dapat direalisasikan namun RAUDHAH telah berjaya membangun satu konsep perlaksanaan bagi sekretariat UNGGAS yang menunggu masa untuk terlaksana.


UNGGAS pada asasnya adalah sebuah pusat penyelarasan kerja atau sekretariat yang mampu menguruskan semua gerakerja aktivis isu sosial ini. Kerja dakwah dan lapangan tidak akan memberi implikasi mendalam tanpa kajian akar umbi dan yang mampu menjadi rujukan kepada pembangunan kelangsungan dakwah masa depan. Dakwah dan kerja perubahan sosial harus dapat dipeta dan dipandu oleh bukti dan data yang sahih dan kukuh dari lapangan. Maka sektor “penyelidikan dan pembangunan” (research and development) dilapangan adalah sektor terpenting dalam gerakerja UNGGAS.


Bukti dan data ini seterusnya digunakan dalam pembangunan dan pemantapan polisi berkait dengan isu-isu sosial. Ia juga akan berkait rapat dengan usaha-usaha menggerakkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada atau pembaikan kelompongan pada undang-undang yang sedia ada.


Usaha pendidikan massa, advokasi polis, penyeledikan dan pembangunan tidak mampu berlangsung tanpa tenga kerja yang cukup. Isu yang berlaku secara merata dan menyeluruh dari ceruk kampung ke tengah hiruk pikuk metropolitan memerlukan lebih banyak CAMAR dilahirkan. UNGGAS boleh memainkan peranan sebagai pusat latihan dan pembangunan untuk tujuan ini.


Melihat pada spektrum dan kepelbagaian kelompok bermasalah dan menyedari keperluan bahawa insan-insan bermasalah ini ada di antara mereka tidak mampu mengikuti program pemulihan berterusan dan dakwah kaki lima yang berlangsung dalam waktu yang singkat, sukar membawa perubahan yang berkekalan. Ini termasuk masalah individu berkeluarga dan berkerjaya yang terjebak dalam gejala sosial dan memerlukan pertolongan. Sayugia itu sebuah program kaunseling percuma diatur dengan iaitu Kaunseling Kasih Ar Rahim (KEKASIH). Model program ini sedang berjalan secara terbatas di Serambi Dakwah, PUM PP Pulau Pinang.


Terakhirnya UNGGAS tidak mampu tidur lena jika ia sendiri gagal menjadi solusi di lapangan. Pelbagai inisiatif yang digerakkan sebelum ini tidak mampu direalisasikan secara berpanjangan dengan penubuhan pelbagai perkumpulan remaja bagi mengisi masa mereka secara berkesan dari membuang masa secara sia-sia dan sebagai ruang pemulihan dalam komuniti. Inisiatif ini bukan baru namun adalah kelanjutan kepada usaha-usaha yang pernah dilaksanakan sebelum ini antaranya; Ikatan Remaja Merdeka (IRAMA), Ikatan Remaja Muslim (IKRAM), Ikatan Perkumpulan Pelajar Pewaris harapan (IMPIAN), Aktivis Remaja Alam Sekitar (ARAS) dan sebagainya. Model-model dari sahabat-sahabat gerakan seperti Embun Hidayah, Kelab Remaja JIM (KRJ) dan lain-lain.


Mencari kasih dan harapan di RAUDHAH ...


Program besar Dakwah Sosial ini adalah pembinaan sebuah rumah transit dan pemulihan kumpulan bermasalah yang dinamakan sebagai RAUDHAH. RAUDHAH atau Rumah Upayadaya dan Harapan al Rahman membawa konsep Uzlah (pengasingan) dan Tazkiyah (Penyucian) bagi usaha pemulihan kumpulan kritikal bermasalah (hardcore social problematic groups) ini. 10 tahun selepas merasa cukup keterbatasan menggerakkan perubahan individu bermasalah ini, RAUDHAH mejadi satu sinar (نور) kepada kami dan moganya menjadi nur kepada mereka yang lain.


RAUDHAH ketika ini hanya dikhususkan kepada indvidu bermasalah kritikal sahaja dan dalam tempoh ini hanya mengendalikan kumpulan wanita. RAUDHAH akur dengan limitasi yang ada dan sehingga tarikh ini (Rabiul Awal 1430H) tidak menerima kumpulan yang terlibat dengan ketagihan dadah.


Program ini berteruskan konsep al fahmu (kefahaman) dalam pembangunan ilmu dan iman, dengan penekanan kepada faham aqidah dalam semua aspek kehidupan. RAUDHAH adalah harapan kepada mereka yang ingin mencari jalan pulang kepada kasihNYA [www.perjalananpulang.wordpress.com].


إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاء وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

56. Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). Al Qasas : 56


Kepada saudara-saudariku yang belum memahami apa yang ku bicarakan ini – lamaran ini ku sampaikan kepada saudara-saudari lain agar mahu berjejak turun ke sawah bendang, hutan belukar dan lautan luas fenomena kebobrokan sosial yang melanda anak-anak, adik-adik dan saudara kita saat ini.


Mengeluh, tidak membawa erti ...

Hanya Berbicara, tidak membawa perubahan ...

Kalau tidak kita? Siapa lagi ?

Kalau tidak sekarang? Bila lagi ?

Kalau tidak disini? Di mana lagi ?

.............................


Kepada saudara-saudariku yang pernah tersentuh dan terasa bau busuk tegar alkohol yang tersembur keluar dari mulut adik-adik dan saudara kita tatkala kita memeluk rapatnya penuh doa, atau ketika air mata taubat itu mula menggenangi mata-mata hitam, biru dan koko yang meminta-minta kita menyatakannya bahawa dia masih punya harapan, atau ketika air mata kita menitis sayu melihat wajah dihadapan kita yang khayal, pucat lesi, dan kebingungan, sambil air-air mata itu mendoakan pada adik dan saudara/i ku ini bahawa – masih ada jalan pulang.


Pada saudara-saudariku ini, ingin ku sedarkan kamu bahawa kamu sedang berada dalam satu fenomena baru yang sedang bangun dengan hajat besar menenggelamkan Tsunami kebangkrapan sosial sedalam-dalamnya.


Kebangunan ini hanya mampu berhasil apabila putus asa tiada dalam kamus kita, meyakini bahawa hanya sanya Allah pemilik Hidayah, bahawa mujahadah itu adalah nafas kami, dan bersama, mengatur saf secara teratur dan menolak perpecahan dan dengan sabar dan keyakinan kebangunan ini harus dibina secara satu agar ia mampu tegar dan istiqomah. Inginku peringati saudaraku untuk memahami bahawa langkah-langkah ini perlu diatur sepertimana kita sedang membina sebuah kota untuk bertahan berabad lamanya maka harusnya batu-batunya ini diatur, satu demi satu dengan seni dan tersusun kerana jika tidak ia hanya akan bertahun hanya semusim lamanya.


لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَـكِنَّ اللّهَ يَهْدِي مَن يَشَاء وَمَا تُنفِقُواْ مِنْ خَيْرٍ فَلأنفُسِكُمْ وَمَا تُنفِقُونَ إِلاَّ ابْتِغَاء وَجْهِ اللّهِ وَمَا تُنفِقُواْ مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ

272. tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). dan apa jua harta Yang halal Yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua Yang kamu dermakan dari harta Yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. [Al Baqarah : 272]


Semoga Allah bersama kita dalam membina jalan-jalan pulang, kembali kepada KeredhaaNYA.


Abu Saif al Mahshari

12 Rabiulawwal 1430H

Saturday, February 14, 2009

Islam Liberal mengmbangkan sayapnya ...

Kenyataan Akhbar
12 Februari 2009

PUM PP selar penganjuran MUSAWAH membawa agenda Islam Liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam


Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dengan ini menyelar sekeras-kerasnya program 'Musawah' iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS). Pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar.

Perjumpaan ini bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar. Mereka yang hadir termasuklah Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.

200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2009 bagi menghadiri mesyuarat 5 hari tersebut. Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUM PP melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan Barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit.

Perjumpaan ini juga akan memberi persepsi yang negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita, terutamanya apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut.

PUM PP juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al Quran dan Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala Syari'at yang dibawa oleh al-Qur'ān dan al-Sunnah.

PUM PP juga mengharapkan kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan liberal Islam ini dan tidak campurtangan dalam urusan Aqidah dan prinsip-prinsip ajaran Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campurtangan dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al Quran

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (109:6)

· 109:6 Unto you, your religous law, and unto me, mine !" [3]

Sehubungan dengan itu, PUM PP menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa perpecahan kepada umat Islam dan member persepsi yang salah kepada Islam kepada semua pihak, termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangan di Malaysia.



Dr Wan Salim Wan Mohd Nor

Yang di Pertua

Mohammad Nizam

Setiausaha



Persatuan Ulama' Malaysia
cawangan Pulau Pinang (PUMPP)

Friday, February 6, 2009

Hari Tanah Lembab Sedunia 4 Februari 2008


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

(30:41)

41. telah nampak pelbagai kerosakan di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al Rum]

Betapa benar kata-kata Allah SWT dalam melihat krisis alam sekitar pada hari ini. Sayangnya tidak ramai antara muslim hari ini memandang berat krisis Alam Sekitar dan menjadikan ia sebagai agenda dakwah dan Islah.

Bersempena Hari Tanah Lembap sedunia; ingin lari dari krisis politik yang memualkan – mungkin elok sebagai satu perkongsian tentang satu amanah yang diabaikan oleh ramai muslimin.

Dipersembahkan bersama Fatin Safiah Kamarudin, di Seminar Serantau Wanita dan Perikanan, Hanoi, Vietnam anjuran SEA Fish for Justice (SEAFISH), 4 November 2008. Edisi English di susuli edisi Bahasa. Moga yang mahu memahami akan mengerti;

A story of a child and mangrove forest

Wave crashing the beaches,
Like rhythms of happiness chirping through the wind,
A boat landed,
A greet of smile, of a child and a wife,

Fish for a pot of rice,
Fish for a cloth on a body,
Fish for a smile and laughter,
Fish for a hope and a dream,

It was that day,
When I saw my sister in the mud,
Finding shells for her earrings,
While i was flinging from a root of tree,
Jumping from one to the others,
‘How weird’, I say, a root coming out from the mud,
Standing resilient and strong,
While I creep and climb,
Finding crabs and prawns,

‘How weird’, I say, root coming out of the soil,
Wet, sticky soil,

Much, much later,
Touching my hands on the blue blue ocean,
While father …Steering in the breath of dusk,
I saw my father, standing salient and strong,
Casting his eyes, on the green of the blue,
I told him, how weird the root is,
Coming out of the wet, sticky soil,

Father smile, looking deep into my eyes,
It is not just a root my son,
It is the root of the sea,
Let it never die,
Let it be strong and living,
Cause like trees, when the roots dies, so will the trees,
As when it dies, so will the sea,

And soon my son … so will my brothers and I,
You, and your sister,
And your sweet mother,
As we are only guardians of the sea,
And when the sea had gone,
So will ‘we’,


I didn’t know until much later,
Later, until the days father passed away,
What father really meant,
Until I saw, those farms coming in,
Bringing shrimps far more in numbers,
Than what the roots can provide,

But those shrimps, are not mine,
Are not my sisters’, are not my mothers’,
Nor it was own by brothers of my fathers,

So they say,
‘The new farms are happiness,
Are “development”
that we will never knows what it means,
are money, coming far far away out of the sea,
a place where you will never be,’

What I see, is a dying sea,
Tears not laughter, Blood not cheers,
A dying dream,
A dying me,

They have taken it away,
From my father,
from the sea, he fought so long for,

They have taken away,
Fish for a pot of rice,
Fish for a cloth on a body,
Fish for a smile and laughter,
Fish for a hope and a dream,

I may not be like my father,
Salience and strong,
But the roots of the sea,
I will never let you die…

4th November 2008
For my comrades and my brothers fisherman
Presented with Fatin Safiah Kamarudin during Women and Fisheries Conference, Hanoi, organised by SEA Fish for Justice (SEAFISH)

------------------------------------------------------------------------------

Cerita anak kecil di Hutan Bakau

Ombak menghempas pantai,
Seperti bayu berirama, dengan lagu-lagu kebahagiaan,
Mendarat sang perahu,
Bersama senyuman isteri dan anak,

Ikan untuk secupak beras,
Ikan untuk selembar kain menutup badan,
Ikan untuk sebuah senyuman dan tawa,
Ikan untuk sebuah harapan dan impian,

Suatu hari ketika itu,
Ketika aku melihat kakakku bermain dilumpur,
Mencari siput buat antingan,
Ketika aku bergayutan pada akar-akar pohonan,
Bergayutan dari satu ke satu,
Pelik pikirku, akar menjalar dari lumpur,
Berdiri teguh dan kukuh,
Tika aku terus menjulur dan memanjat,
Mencari sang ketam dan udang,

Pelik pikirku, akar menjulur keluar dari tanah,
Tanah yang becak, lembap,

Seberapa lama selepas itu,
Tika tanganku bermain air biru lautan,
Tika abah,
Memandu sampan membelah senja,
Ku lihat abah, berdiri teguh dan kukuh,
Memandang jauh, pada lingkaran hijau di gigi lautan,
Ku cerita padanya, betapa aneh akar-akar itu,
Keluar menjalar dari tanah yang becak basah,

Abah tersenyum, memandang dalam ke lubuk mataku,
Itu bukan hanya akar anakku,
Itu akar lautan,
Jangan kau biar ia mati,
Biar ia hidup dan tegar,
Kerna seperti pohonan,
bila akarnya mati, begitu jua pohonan,
Bila ia mati, begitu juga lautan,

Dan anakku sayang
… tika itu jua ajalkan menjemput, aku dan saudaraku,
Kamu dan kakakmu,
Dan ummi mu tersayang,
Kerana kita adalah pembela lautan,
Dan tika matinya lautan,
Begitu juga kita,
Aku tidak mengerti hingga aku dewasa,
Hingga tika abah sudah tiada,
Apa ertinya kata-kata abah,
Ketika kulihat didepan mata,
Kolam tambak menjajah tanah ibunda,
Membawa udang-udang ribuan jumlahnya,
Dari apa yang termampu keluar dari akar lautan,

Tapi udang-udang itu bukan milik kami,
Bukan milik kakakku, bukan milik ummi,
Bukan juga milik saudara abah,

Begitu kata mereka,
‘Kolam tambak ini kebahagiaan,
“Pembangunan”,
Yang kami takkan mengerti maksudnya,
Wang, yang datang dari seberang lautan,
Tempat yang tak bisaku jejaki’,

Apa yang ku lihat adalah lautan yang mati,
Air Mata bukan ketawa, darah bukan ceria,
Sebuah mimpi yang mati,
Aku yang mati,

Mereka telah mengambilnya,
Dari abah,
Dari lautan, yang sekian lama dia berjuang untuknya,

Mereka telah mencuri,
Ikan untuk secupak beras,
Ikan untuk selembar kain menutup badan,
Ikan untuk sebuah senyuman dan tawa,
Ikan untuk sebuah harapan dan impian,

Tak mungkin aku seperti abah,
Teguh, kukuh,
Tapi akar lautan,
Ku tak biar kau kemusnahan,

4 November 2008
Untuk sahabat seperjuangan dan saudaraku nelayan

Monday, December 1, 2008

Pak herry dan krisis Muslim Global

(3.11.08) (siri penuh yang dikemaskini 2 Januari 2009)

Saya cukup merindui sahabat saya ini, barangkali kami hanya bertemu setahun sekali atau dua, berchating di YM sekali sekala dan bertukaran sms apabila keperluan. Namun saya kira kami punya keinginan yang sama … pada Allah, pada RasulNya dan pada Deen ini yang dicintai.

Saya kira ada tujuan Allah, tidak mengkehendaki saya bertemu beliau dan pertemuan besar aktivis dan intelektual muslim ‘global’ yang dikedendalikan sendiri oleh jaringan yang saya bertapak, serta menghantar saya ke kota penuh kebuhsanan. Hikmah dan ibrah yang saya belum ketemu maknanya. Namun Allah juga yang mengtakdirkan pertemuan singkat saya dan saudaraku ini; kalau tidak pada tujuan menekuni ilmu, namun pertemuan dan perpisahan yang sekurang-kurangnya saya harapkan ia adalah pertemuan yang menjanjikan perlindungan dari Arassy yang tinggi dan memberi segala keselamatan.

Pak Herry, orang kecil, berjiwa besar, seorang murabbi dalam dakwah dan jihad politik di watan berisi 270 juta umat, dimana dia adalah seorang yang punya potensi memberi makna pada bumi umat Islam itu. Kelincahannya minda yang mampu dirakam melalui pena atau lebih tepat mata kekunci ke untaian makalah serta langsung mengorganisasi wacana dalam Koran sabil yang masih kekal menjadi wacana tatapan utama massa Indonesia, sudah memberi rekod besar betapa bermakna saudaraku ini.

KRISIS

“Ya, perjalanan pendek yang menarik …” katanya yang baru pulang dari bermusafir ke bebarapa bumi umat Islam. “Namun … kepulangan saya dari bumi yang melahirkan tokoh besar gerakan Islam dunia seperti Pak Iqbal dan Maulana Mawdudi memberi saya satu keresahan baru …” katanya, sedikit terhenti seolah sedikit mengeluh.

“Sepertinya kelihatan, umat Islam ini tidak mampu untuk mempersiap diri untuk bangun dari kondisi kebangkrapan umat yang mereka dan kita hadapi” … sebegitu, serba sedikit yang mampu saya ingati dari kata-kata yang terpacul dari bibirnya. “Ironisnya, bumi umat Islam, sepertinya refleksi bumi umat Islam lain, dalam keadaan yang tidak terorganisasi, punya tampak wajah yang tidak kemas, tidak bersih dan tidak indah, serta umatnya seperti tidak punya arah…” sepertinya sebegitu maksudnya. “Sepertinya, potensi ramainya umat itu tidak mampu membangunkan ketamadunan yang membawa citra sebenar Deen ini”…

Kata-katanya penuh tanya-tanya dan kegusaran.

SOLUSI

“Barangkali pak, kita telah meninggalkan satu keutamaan yang seharusnya kita dahulukan dalam membina umat ini…” entah mengapa lidah saya terus lancang berkata-kata. Saya meyakini, maksud kata-kata yang saya lafazkan itu tidak datang dari lisan saya semata-mata, namun keyakinan saya, makna yang cuba saya sampaikan itu datang dari Rabbul Jalil.

“Kita terlalu asyik mengungguli perjuangan yang populis dan nampak di mata massa. Kita mengilai kuasa dan kekuatan. Kita lupa bahawa umat tidak bersedia untuk bangun bersama kita”…

“Kita hanya mahu nampak, mahligai besar yang mahu kita bina dan itu membuat kita ghairah dan mengabaikan untuk membangun kota dan mahligai itu satu persatu, dengan cerucuk yang dalam dan kemas, dan kota yang terbangun dengan bata demi bata…” maksud yang ingin saya sampaikan ketika kami membelah pekat malam, dalam derusan mobil-mobil merentasi jambatan panjang antara tanjung dan bagan.

Entah maksud saya dalam perjalanan singkat dapat saya sampaikan dengan kata-kata yang tersusun dan jelas yang mampu difahami atau tidak, namun Pak Herry mengiakan, seolah-olah keluhan yang terpancar dalam hati saya itu sama dirasai oleh beliau.

Begitulah yang saya yakini, dalam perjalanan singkat saya mencari jalan Tuhan ini, saya kira kalau mahu dikira secara logiknya, harapan untuk melihat umat ini bangun sebagai satu ketamadunan dan “ustaz” kepada dunia; elok sahaja saya ketepikan.

Saya kira, dosa ini tidak harus hanya diletakkan pada umat itu sendiri. Saya meyakini, para arkitek perubahan, para katalis reformasi, para jurutera dakwah dan Islah, hatta mujahid yang menemui ajal dipelbagai sudut dunia punya ‘dosa kecil’ ini, yang membiarkan umat ini kekal dalam keadaannya. Saya “notakan” ia sebagai “dosa kecil” kerana saya kira semua mereka itu adalah mereka yang ikhlas dan berusaha dan tetap saya mendoakan saya dan mereka samada akan ditempatkan dikantung sang burung hijau atau menetap nanti bersama, ditepian sungai Jannatul Firdaus yang mengalir kekal.

Umat Islam kini kelihatan jelas, seperti mana pesan al Mustafa; bagai hidangan yang sedang di jamah mamah selahapnya… dari soal-soal kemiskinan, penyakit sosial dan kesihatan, kegilaan duniawa, konflik saudara dan militirisasi, sehingga pada kegagalan menjuarai perang idea dan ilmu samada sains, teknologi mahupun metafizika.

Para katalis perubahan seolah-olahnya benar tidak sabar. Ketika mana mengungguli keluh dan ratapan umat, mereka cepat benar terasyik untuk membawa ratapan dan keluhan itu pada medan populis massa, naik ke rostrum-rostrum retorika, mewacanakan ke dada-dada akhbar bahawa umat derita dan akhirnya saja menempelak sang penguasa agar mereka jatuh rebah untuk kita (dalam impian kita) mampu mengungguli umat sebagai penguasa baru yang memimpin umat kepada jalan yang lebih benar.

Acapkali, ketika piala kuasa sudah berada digenggaman, kita lihat meraka sekali lagi kelihatan tidak mampu untuk mengedar air kesejahteraan, kebenaran dan keadilan yang sebegitu didambakan oleh umat dan alam seluruhnya. Saya kira itu juga maksud yang cuba disampaikan oleh guru saya selama ini, ketika dia menotakan: Risalah untuk Aktivis Umat.

Apa persiapan itu ?

Batu-batu umat, tidak dibangun satu persatu dan cerucuknya tidak ditanam dalam dan kemas. Saya pastinya tidak mampu berlaku adil dalam menyampaikan maksud saya tentang apa persiapan yang sepatutnya dibina dalam penulisan sependek ini. Namun amat perlu saya rasakan untuk mengocak-ngocak neorun dan kalbu supaya hendaknya tidak dikarati dengan kelekaan.

Persiapan itu tidak lain sepertimana tujuannya para ulamak terdahulu telah bergolak gadai keringat, air mata dan darah dalam melahirkan “magnum opus” – karya agung atau melalui kehidupan mereka dalam memperjelaskan perkara asasi ini. Kerana itulah terciptanya pelbagai karya zaman seperti mana Imam al Ghazali menulis dalam penulisannya Ihya’ Ulumuddin – the Revival of Religious Sciences / Pemakmuran Ilmu-ilmu Agama atau Pengajaran Syeikh Muhammad Abdul Wahab dalam menangani Khurafat bangsanya, Tahafut al Tahafut oleh Ibn Rushd, al Aqeedah al Wasatiyyah oleh Ibn Taimiyyah, Tafsir al Manar oleh Muhd Abduh, Reconstruction Religious Thoughts in Islam – Maulana Muhammad Iqbal, Karya Pengajaran Agama Islam dan Tafsir Al Rahman oleh Buya HAMKA, Mukhaddimah Ibn Khaldun dan tidak kurang yang wajar sekali saya ketengahkan iaitu karya besar Prolegomena oleh Syed Naquib Al Attas. Ini hanya sebahagian kecil dari mujtahid dan karya besar sezaman yang telah berusaha mengembalikan “persiapan kembali oleh umat” kepada makna dan praktis pengamalan Deen yang sebenar.

Buat guru-guru ilmu, mungkin akan memarahi saya bila saya mengabungkan pemikiran pelbagai ulamak di atas yang sebahagian besarnya itu dilihat punya percanggahan kerangka dasar mahupun pendekatan dan meletakkan mereka dalam satu bakul yang sama. Namun, saya menukilkan pernyataan diatas dengan tujuan bahawa para ulamak ini punya hajat asal yang tidak berbeza dalam membangun asas-asas Islam yang asasi @ prinsipal yang makin ditinggalkan oleh umat Islam itu sendiri. Lebih malang, bukan pertembungan idea dan beda kerangka diantara para ulamak yang sebenarnya mampu menyuburkan umat bilamana perbezaan mereka mampu diteliti dan diperhalusi dalam kerangka pengkajian dan ilmu, namun ironisnya bagaimana lebih besar dosa umat kini yang telah meninggalkan mereka dan panduan yang telah mereka tinggal. Mujtahid-mujtahid ini TIDAK berada dalam minda dan kerangka idealogi majoritas umat muslim. Tidak salah, malahan adalah adil jika saya katakan, para katalis perubahan umat (aktivis, intelektual dan gerakan Muslim) yang sepatutnya menjadi guru dalam menyebarkan pengajaran dan panduan asasi (foundasi) dari para Ulamak lalu ini juga telah meninggalkan ‘fundemental’ ini.

Nah, akhirnya apa yang terjadi, kita telah keliru dalam menerima atau menolak kerangka ilmu dan idealogi luar yang tidak bersumber atau bersetuju dengan kerangka Allah dan RAsulNya. Kita terkapai dalam mencari definasi sebenar Deen dalam tsunami besar globalisasi neoliberal yang memupuk wahanisma “kecintaan dunia” yang membuak-buak dalam dada umat. Kita gagal mendefinasi kegagalan kapatalisma sebagai tragedi riba dan wahanisma malahan kita seolah-olahnya menjadi hamba pada faham pembebasan dan pencerahan (dibaca liberal Islam) yang berakar umbikan sekularisma ini.

Ketika itu segala krisis menjadi nyata samada jurang kemiskinan, penindasan dan penjajahan manusia ke atas manusia, keruntuhan sosial dan institusi keluarga, perubahan iklim dan kemusnahan alam, krisis makanan dan bahan bakar … Semua ini adalah hasilan kerangka ilmu dan idealogi tempang yang dianuti dunia hari ini. Kita para muslimin bukan sahaja tidak mampu mengatakan bahawa kerangka ilmu itu salah, bahkan kita lebih teruk lagi cuba menyesuaikan keagungan ilmu Islam dengan ketempangan satu ketamdunan yang runtuh dan melaungkan ia sebagai satu produk baru Islam sepertinya bila kita mampu menikahkan Kapatalisma dan Islam untuk melahirkan Kapitalis Muslim; sepertimana dikatakan oleh Muhammad Asad sebagai tragedi adaptasi umat Islam di persimpangan.

Apa yang para katalis perubahan mutakhir ini mampu lakukan ketika ini, hanyalah seperti sang bomba yang cuba memadam setiap kebakaran yang timbul, satu demi satu yang tidak kunjung habis.

Memadamkan kesan kemusnahan dan bukan menyelesaikan punca kemusnahan itu sendiri.

Saya kira Ibn Khaldun telah terlalu berjaya menggariskan satu panduan besar umat dalam wacananya tentang kedaulatan “sovereignity” dan pengstrukturan sosial yang sebenarnya mampu menjadi ubat kepada hegemoni globalisasi kapatalis yang mewarnai orde dunia hari ini, yang telah mewujudkan penjajahan @ kolianisasi baru dan jurang kuasa dan ekonomi yang besar antara kuasa besar dan dunia ketiga. Beliau benar-benar telah melangkaui masa apabila telah sejak awal lagi mewacanakan pembangunan mapan yang hanya akhir dua dekad ini rancak dibicarakan setelah dunia ini terbukti uzur dan semakin temat. Sayangnya, Mukhadimmah gagal dibawa oleh muslim hari ini untuk mejadi Magnum Opus dalam silibus displin ilmu sosiologi yang sebenarnya dilahirkan oleh ilmuan Islam ini.

Ketika ini, peran jamaatul Islam sebagai satu umat besar cukup penting dan strategis. Ada benarnya, kita harus mengurangkan (mitigasi) kerosakan dan serangan yang melanda umat dengan sesekali memainkan peran sebagai ahli bomba (fire fighting). Namun dalam waktu yang sama kita harus meletakkan keutamaan untuk membangunkan kerangka ilmu yang sebenar bagi menyusur galurkan kembali haluan umat bukan sahaja untuk keluar dari korupsi hegemoni keilmuan (dibaca kelimuan ketamadunan barat) bahkan membangun satu solusi yang benar kepada ketamadunan Islam sebenar atau proses Islamisasi.

Strategi keilmuan ini, seterusnya harus diturunkan dari wacana kefalsafahan dan epistemologikal kepada tahap pendidikan umat ke akar umbi. Generasi Salahudin al Ayyubi tidak lahir semata-mata kerana lahirnya seorang pahlawan perang yang mampu mengangkat senjata namun mujtahid dan generasi ilmuan sebelumnya telah mempersiapkan umat seberapa lama sebelum itu untuk menyambut kelahiran seorang pemimpin yang mampu memerdekan umat dari penjajahan – aqidah, kelimuan, budaya, kuasa dan ekonomi.

Saya meyakini, kita tidak kurang harus mampu menghasilkan kemenangan-kemengan kecil yang meluas – kemenangan ilmu dan kemenangan minda muslim yang benar-benar merdeka dari penjajahan ketamadunan dan kuasa barat. Hanya bangsa Pakistan yang benar merdeka mampu memerdekan dirinya dari penjajahan yang sedang berlaku ke atas diri mereka dan bangkit sebagai satu Negara sebenar. Begitu halnya dengan bangsa-bangsa umat Islam lain di seluruh dunia. We have few battles, that we have won, but it had been overwhelmed by the greater defeat that we have suffered – ada benarnya kita telah memenangi beberapa pertempuran kecil namun kejayaan ini tidak dirasai dek ditenggalami kekalahan besar perang-perang lain yang menimpa umat Islam.

Kita harus terus mencipta kemenangan dalam pelbagai pertempuran kecil dan bersama jaringan aqidah umat Islam kita boleh memenangi perang besar yang melanda umat kita hari ini. Moga yang berfikir mendalam mampu memahami.